PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, tahap kesihatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bertambah baik.
Menurutnya, baginda kini sedang dirawat dan berehat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
“Dia (baginda) sihat. Saya akan keluarkan kenyataan. Biar dia rehat…keadaan baik.
“Alhamdulillah…dia nak rehat,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di sini hari ini.
Terdahulu ketika memulakan ucapan pada majlis berkenaan, Anwar memohon maaf kepada delegasi dan peserta persidangan di atas kelewatan tiba kerana terlebih dahulu menziarahi Sultan Brunei di IJN.
Media sebelum ini melaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah dimasukkan ke IJN selepas mengadu keletihan dan mengambil keputusan untuk berehat di sana.
Disebabkan itu, baginda juga tidak kelihatan dan hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China termasuk Majlis Santapan Diraja di Istana Negara. – UTUSAN