Suhu maksimum harian hingga 36°C - MetMalaysia

Suhu maksimum harian hingga 36°C – MetMalaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia tidak akan mengalami cuaca kering dan panas ekstrem sepanjang musim Monsun Barat Daya (MBD) hingga September ini berikutan fenonema El Nino Ayunan Selatan berada pada tahap neutral.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan ENSO neutral itu diramal kekal sepanjang tahun ini, sekali gus menepis kebimbangan mengenai cuaca panas melampau yang mungkin berlaku.

“Situasi ENSO neutral ini diramal akan berkekalan sepanjang tahun ini.

“Majoriti ramalan yang dihasilkan oleh model-model antarabangsa terkini tidak menjangkakan akan berlaku fenomena cuaca kering dan panas yang ekstrem sepanjang musim MBD tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohd Hisham, dengan status ENSO yang neutral, bacaan suhu maksimum harian antara 33°C hingga 36°C yang dicatatkan pada bulan ini adalah normal bagi musim MBD dan tidak menunjukkan sebarang anomali yang membimbangkan.

“Berikutan keadaan ENSO yang neutral, kita menjangkakan cuaca Malaysia akan lebih stabil berbanding tahun-tahun ketika berlaku episod El Nino yang kuat,” katanya.

Tambah beliau lagi, keadaan atmosfera yang dijangka lebih lembap berbanding sebelumnya, membolehkan pembentukan hujan di beberapa kawasan dalam tempoh seminggu kehadapan.

“Hujan dijangka berlaku terutamanya pada waktu pagi di negeri-negeri utara Semenanjung dan barat Sarawak.

“Manakala pada waktu petang melibatkan kawasan pedalaman dan timur di Semenanjung serta utara Sarawak dan barat Sabah,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa suhu maksimum harian di seluruh negara dijangka akan berada dalam julat bacaan antara 32°C dan 35°C, iaitu dalam lingkungan normal untuk musim ini.

“Setakat ini, tiada bacaan suhu panas yang luar biasa dikesan oleh stesen-stesen meteorologi di seluruh negara.

“Cuaca semasa MBD yang dipengaruhi oleh keadaan kelembapan atmosfera yang rendah memang menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan kawasan.

“Akibatnya, negara secara amnya akan merekodkan jumlah hujan yang lebih rendah berbanding musim lain, dengan bilangan hari yang mengalami cuaca tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari yang hujan,” katanya.

METMalaysia turut memaklumkan negara sedang berada dalam musim Monsun Barat Daya (MBD) yang telah bermula sejak 10 Mei hingga September 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN