PETALING JAYA: Penyanyi dangdut, Mas Idayu, sah bercerai dengan suami, Muhamad Sufian Che Isa, 4 Mac lalu.
Menurut Sufian yang juga Penerbit Eksekutif TV3, ikatan perkahwinan mereka berakhir secara baik di Mahkamah Syariah Shah Alam.
“Kami sah bercerai pada 4 Mac lalu di Mahkamah Syariah Shah Alam. Punca perceraian, saya anggap kami sudah tiada jodoh saja.
“Bagaimanapun, hubungan antara kami masih lagi baik sebagai sahabat. Tapi, jodoh kami nampaknya sampai di sini saja dan saya positif menerima takdir yang sudah ditetapkan ini,” katanya kepada media.
Dalam pada itu, Sufian memberi jaminan bahawa berakhirnya perkahwinan bukan bermaksud hubungan mereka sebagai sahabat sudah terputus.
Dia akan tetap memberi sokongan kepada perkembangan kerjaya seni penyanyi itu.
“Pada usia saya yang sudah tua ini, nak bermasam muka atau bergaduh pun buat apa? Bagi saya, memang jodoh kami sampai di sini saja.
“Saya pun tetap bersedia untuk terus bekerjasama dengan dia dalam program dijalankan stesen TV. Kami pun berpisah secara baik.
“Setakat ini, hubungan antara kami pun masih tetap baik walaupun sekarang sudah bercerai. Saya akan terus beri sokongan pada kerjaya seninya, termasuk sebagai juri program,” jelasnya.
Terdahulu, timbul khabar angin kononnya Mas Idayu dan suami sudah bercerai. Bagaimanapun, Mas Idayu tidak mengangkat panggilan telefon untuk mengesahkan perkara itu. – UTUSAN