PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi fokus penarikan subsidi petrol membabitkan pendatang asing terlebih dahulu memandangkan jumlah kumpulan itu adalah tinggi ketika ini.
Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed), Dr. Zulkufi Zakaria berkata, langkah itu ibarat serampang dua mata untuk mengenal pasti pendatang haram dan yang datang secara sah (ada kad pengenalan).
Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu memperjelas definisi maha kaya sama ada ia adalah individu, korporat atau sebarang petrol untuk orang kaya.
“Hal ini (rasioanalisasi subsidi) mengakibatkan kesan nilai rantaian yang akhirnya boleh memberi impak kepada kenaikan harga barangan yang ditanggung oleh pengguna.
“Mekanisme untuk pelaksanaan adalah kritikal. Dalam ekonomi sebarang perubahan harga atau harga pasaran bagi bahan api dan sumber air akan secara langsung mengakibatkan kesan kepada pengangkutan, pembuatan, pemrosesan seluruh industri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, warga asing menikmati antara RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun hasil daripada subsidi yang sepatutnya hanya dinikmati rakyat Malaysia.
Menurutnya, mekanisme penyasaran subsidi bahan api yang bakal dilaksanakan kerajaan kelak mungkin akan menggunakan MyKad.
Tambah Zulkufi, tindakan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi petrol ketika ini disebabkan dua faktor utama iaitu dari sudut akademik dan ekonomi.
“Pertama, kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi sama ada untuk pentadbiran dan pembangunan.
“Tidak ada cara lain kecuali dua inisiatif perlu dilakukan segera iaitu menjual atau mencairkan aset kerajaan dan menaikan cukai. Menarik subsidi adalah merupakan pendekatan sama dengan menaikkan cukai.
“Dari aspek positif pula, jumlah kemasukan pendatang asing merupakan satu faktor induk kerana cukai ke atas mereka tidak jelas di mana-mana perenggan sistem cukai negara sama ada taksiran, bayaran atau penguatkuasaan.
“Oleh itu, penarikan subsidi boleh menjadikan usaha awal bagi penjimatan negara dalam perbelanjaan,” katanya. – UTUSAN