MELAKA: Pasangan suami isteri direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas disyaki mendera bayi lelaki mereka yang berusia dua bulan, Isnin lalu.
Perintah reman sehingga 13 Mei ini dikeluarkan Hakim Haderiah Siri terhadap suspek lelaki dan wanita masing-masing berusia 22 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Difahamkan, suspek lelaki bertindak menepuk dada bayi malang itu beberapa kali kerana berang mangsa menangis manakala suspek wanita dipercayai menghempas mangsa ke lantai.
Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Sungai Petai, Alor Gajah dekat sini.
Menurut sumber, mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah oleh ibunya kira-kira pukul 6 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum wanita itu meninggalkannya dan mendakwa kononnya mangsa mengalami serangan sawan.
Katanya, bayi malang itu kemudian dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut sebelum pemeriksaan oleh pegawai perubatan menemukan kesan lebam dan luka di beberapa bahagian badan serta leher mangsa.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan pendarahan lama dan baharu dalam kepala bayi berkenaan disyaki akibat hentakan atau kecederaan luaran,” katanya.
Katanya, mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Melaka. – UTUSAN