PADANG RENGAS: “Tak sangka selepas bapa mertua dan sepupu, kakak ipar dan suami pula tinggalkan kami”.
Demikian luah Wan Aniza Nora Wan Abd. Kadir, 54, yang merupakan adik ipar kepada Harirah Mahmud@Abdul Samad, 65, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 64, Jalan Ipoh-Taiping di sini semalam.
Kejadian sekitar pukul 10.15 pagi itu turut mengorbankan suami Harirah, Amir Sharifuddin Md Zahari, 68.
Menurut Wan Aniza, kakak iparnya itu merancang untuk berkumpul bersama adik-beradik pada 31 Mei ini sekali gus mengadakan kenduri arwah bapa mereka yang meninggal dunia 11 April lalu.
“Arwah kakak ipar anak sulung daripada empat beradik. Dia ada beritahu mahu buat kenduri untuk kumpul semua adik-adiknya dan bincang hal pusaka.
“Tak sangka dalam tempoh sebulan kami terima banyak kejutan. Selepas bapa mertua diikuti sepupu yang meninggal dunia minggu lalu di Pulau Pinang, hari ini (semalam) kakak ipar dan suaminya pula,” katanya ketika ditemui semasa pengebumian suami isteri itu semalam.
Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku ketika pasangan suami isteri tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Padang Rengas selepas menguruskan hal berkaitan sawit di pusat pengumpulan sawit (REM) di Matang, Taiping.
Katanya, dia pada mulanya menyangka kakak ipar dan suami akan singgah ke rumahnya di Pokok Assam, Taiping namun sehingga tengah hari, pasangan suami isteri itu tidak muncul-muncul.
“Mereka ada beritahu suami untuk pergi REM dan kami fikir mereka akan singgah ke rumah selepas itu. Tapi bila sudah pukul 12 tengah hari, kami fikir mereka tentu balik terus ke rumah sebab biasanya kakak dan abang ipar akan ambil cucu dari sekolah.
“Terkejut apabila diberitahu mereka kemalangan ketika menunggang motosikal. Biasanya mereka akan menaiki kereta dan jika menunggang motosikal pun hanya abang ipar sahaja,” katanya.
Tambahnya, kali terakhir dia berjumpa pasangan suami isteri itu minggu lalu ketika majlis pengebumian sepupu mereka di Pulau Pinang.
Jenazah suami isteri yang berasal dari Batu 16 Padang Rengas itu disembahyangkan di Masjid Al-Hadhari sebelum dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang dekat sini.
Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dilaporkan berkata, berdasarkan siasatan, motosikal ditunggang pasangan suami isteri itu dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.
Menurutnya, kereta dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun itu hilang kawalan lalu memasuki laluan penunggang motosikal.
“Akibat rempuhan tersebut, pasangan suami isteri itu cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang kereta tidak cedera,” katanya. – UTUSAN