KOTA TINGGI: Pasangan suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan mereka merempuh sekumpulan gajah yang melintas jalan di Kilometer 50, Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, dalam kejadian pukul 9.20 malam itu, pasangan berusia 40 dan 38 tahun yang menaiki Perodua Alza sedang dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Mersing.
“Setiba di lokasi tersebut, tiba-tiba empat ekor gajah melintas jalan dan mangsa tidak dapat mengelak. Akibatnya, bahagian hadapan kenderaan mangsa remuk, namun pasangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Selepas pelanggaran itu, kumpulan gajah berkenaan dilihat masuk semula ke kawasan hutan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman memaparkan insiden sebuah kenderaan melanggar sekumpulan gajah liar dan turut kedengaran bunyi kuat mamalia berkenaan yang dipercayai cedera.
Baru-baru ini insiden kemalangan melibatkan gajah turut menyentuh hati rakyat apabila seekor ibu gajah dilihat setia menunggu anaknya yang mati dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Kejadian menyayat hati itu berlaku pada sambutan Hari Ibu dan menjadi simbol kasih yang melangkaui spesies. – UTUSAN