KUALA LUMPUR: Lelaki tempatan yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian isterinya di tepi Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhampiran Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar, 6 Mei lalu, telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, suspek berusia 50 tahun itu dibebaskan selepas tempoh remannya tamat Isnin lalu.
“Kita telah merujuk kertas siasatan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan menerima beberapa arahan untuk dilengkapkan.
“Kertas siasatan akan diserahkan semula dalam kadar segera,” katanya ketika ditemui pemberita ketika Program Derma Darah sempena Hari Polis ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran mulut antara pasangan itu berkaitan penggunaan sebuah van.
Difahamkan, wanita berkenaan dipercayai terjatuh daripada kenderaan yang dinaiki mereka sebelum suspek pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan pula memaklumkan, lelaki terbabit yang bekerja sebagai penghantar barang penyaman udara ditahan di Taman Kinrara, Puchong, Selangor kira-kira pukul 6 petang, Selasa lalu.
“Siasatan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan dua rekod berkaitan dadah. Malah, hasil ujian air kencing mendapati dia positif methamphetamine, benzo dan amphetamine,” katanya.
Beliau berkata, pasangan suami isteri itu telah berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak. – UTUSAN