Strategi basmi kemiskinan dicapai di DUN Behrang – Salina

Strategi membasmi kemiskinan tegar berjaya dicapai – Salina

SALINA Samsudin turun padang menyantuni rakyat di Behrang yang sakit dan memerlukan bantuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK diberikan kepercayaan untuk berbakti sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang di bawah Parlimen Tanjung Malim pada 19 November 2022, Salina Samsudin, 54, terus menekan ‘gear lima’ membantu rakyat di kawasannya.

Penglibatannya dalam dunia politik bermula daripada Puteri UMNO dan latar belakang ayah dan ibunya dalam parti yang turun ke padang membantu rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama menyebabkan beliau tahu akan kesukaran dan keperluan rakyat.

 

“Saya sendiri pun tidak pernah terfikir terpilih menjadi ADUN (Behrang) namun dilahirkan dan membesar di Felda Sungai Behrang menyebabkan ada pengalaman berdamping dengan rakyat.
“Behrang ini unik kerana jumlah pengundi seramai 39,521 dengan kaum Melayu mencatat peratusan tertinggi diikuti Cina, masyarakat Orang Asli dan India,” katanya.
Tidak lekang dengan senyuman, pasangan kepada Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff ini berkata, usaha membantu golongan yang memerlukan secara konsisten dengan kerajaan negeri menyebabkan sifar kemiskinan tegar di DUN Behrang.

Bagi orang ramai, istilah YB mungkin merujuk kepada Yang Berhormat (YB) tetapi saya ‘Yang Berkhidmat’. Dengan peluang selama lima tahun sekiranya umur panjang dan diizinkan Allah SWT, amanah menjaga rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Hampir tiga tahun menjadi wakil rakyat, strategi membasmi kemiskinan tegar berjaya dicapai. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah dengar sampai orang Behrang tidak makan selama beberapa hari kerana tiada duit. Saya akan pastikan, berdosa jika ia berlaku,” katanya.

 

BIODATA Salina Samsudin
Usia: 54 tahun
Asal: Felda Sungai Behrang, Tanjung Malim, Perak
Status: Berkahwin
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pemasaran, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Jawatan: ADUN Behrang

JAWATAN DALAM PARTI
 Exco Wanita UMNO Malaysia
 Naib Ketua Wanita UMNO Pera
 Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Malim

JAWATAN
 Ahli Lembaga Pengarah People of Remarkable Talents (PORT)
 Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak
 Anggota Yayasan Perak

Tidak menolak masih wujudnya masalah kemiskinan di Behrang, Exco Wanita UMNO Malaysia ini dengan bantuan pegawai dan kakitangannya berdasarkan data terkini serta turun ke lapangan bertemu dengan rakyat hampir setiap hari tanpa mengira siang atau malam bagi memastikan bantuan disalurkan secara sempurna.

“Kemiskinan ada di mana-mana kerana pelbagai faktor berkaitan ekonomi, kos sara hidup meningkat. Itu lumrah namun saya akan memastikan bantuan tidak mengira bangsa daripada agensi kerajaan, negeri atau kapasiti sebagai ADUN sampai kepada mereka yang layak.

“Bantuan kotak makanan, baik pulih rumah, perumahan, bantuan awal banjir, persekolahan, instisusi pengajian tinggi dan perayaan diagihkan secara saksama agar semua mendapat manfaatnya.

“Secara jujur, kita tidak dapat memenuhi setiap keperluan manusia kerana setiap orang berbeza tetapi lakukan yang sebaiknya agar tiada yang terlepas pandang atau tercicir,’ katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi & Pemasaran, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini berkata, kepentingan pendidikan sememangnya menjadi keutamaannya.

“Tuisyen Behrangkite melibatkan pelajar golongan B40 di lima sekolah menengah di Tanjung Malim sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Malah, kita memberikan wang sebanyak RM4 setiap kali menghadiri sesi kelas.
“Saya harap mereka mendapat keputusan yang cemerlang untuk berjaya pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merancang untuk mewujudkan kolej komuniti atau Pusat Giat MARA yang khusus untuk anak-anak Orang Asli supaya dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Ini kritikal bagi menampung keperluan tenaga di Projek Automotive High Tech Valley (AHTV) yang menyaksikan Tanjung Malim mendapat limpahan pembangunan yang pesat.

 

KAD LAPORAN PRESTASI ADUN BEHRANG 2024

 Projek pembangunan Merangkumi projek baik pulih dan naik taraf kemudahan awam termasuk rumah ibadah.
– RM3.3 juta
 Pendidikan Merangkumi tuisyen, kit alat tulis, Bantuan Back To School, bantuan kewangan pendaftaran, sukan dan PIBG
– RM86,750
 Kebajikan Merangkumi agihan 1,450 kotak makanan, bantuan kerusi roda, katil hospital, susu, baik pulih rumah dan bantuan banjir.
– RM121,785
 NGO dan agensi awam Sumbangan komputer, program kemasyarakatan, pencinta alam dan kempen pemandulan haiwan. – RM42,600
 Bantuan perayaan dan keagamaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Hari Natal.
– RM56,800
 Orang Asli Bantuan bencana, sambutan tahun baru, baik pulih rumah, sukan, set khemah dan sekolah Orang Asli.
– RM43,400
Jumlah: RM3,651,335

Santai
 Minuman dan makanan kegemaran adalah nescafe ais dan masakan berasaskan sotong.
 Hobi pada masa lapang ialah berkebun dengan mengusahakan kebun sayuran-sayuran mini seperti kangkung, cili api, kucai dan buah tin.
 Sekiranya tidak menjadi ahli politik mungkin akan terlibat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kebajikan.
 Pendorong utama ialah keluarga dan suami.
 Rahsia kekal bertenaga dan aktif adalah berfikiran positif setiap masa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN