PUTRAJAYA: Kedudukan stok penimbal beras negara ketika ini berada pada kadar 200,000 metrik tan dan ia mencukupi bagi keperluan negara selama 6.66 bulan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, secara keseluruhan stok fizikal beras dalam negara adalah sebanyak 1,331,016 metrik tan.
“Kedudukan dan bekalan stok beras itu amat mencukupi bagi keperluan negara biarpun berlaku ketegangan geopolitik di beberapa buah negara pengeluar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai perang antara India dan Pakistan di Kashmir yang dibimbangi akan meluas ke seluruh kedua-dua negara berkenaan.
Data pengeluaran beras global terkini menunjukkan bahawa India kini merupakan pengeluar beras terbesar dunia, manakala Pakistan berada di kedudukan ke-10.
Laporan data Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) bagi tahun 2024/2025 menyatakan India menghasilkan sekitar 147 juta tan metrik beras, menyumbang 27 peratus daripada pengeluaran global.
Ia sekali gus menjadikan India sebagai pengeluar beras terbesar, mengatasi China yang menghasilkan sekitar 145.28 juta tan metrik.
Pakistan pula menghasilkan kira-kira 10 juta tan metrik beras, menjadikannya pengeluar ke-10 terbesar di dunia. Walaupun jumlah pengeluarannya lebih kecil berbanding negara-negara lain, Pakistan terkenal sebagai pengeksport utama varieti beras Basmati, yang mempunyai nilai tinggi di pasaran antarabangsa.
Ditanya mengenai kebimbangan gangguan bekalan berikutan konflik geopolitik antara India-Pakistan, Arthur berkata, Malaysia mempunyai langkah dan kaedah tertentu untuk menjamin bekalan beras negara termasuklah diversifikasi sumber beras.
“Kita ambil (bekalan) daripada negara-negara yang lain untuk memastikan bahawa stok penimbal itu mesti ada untuk memenuhi keperluan beras negara. Jadi negara tidak terkesan dengan konflik geoplolitik,” katanya. – UTUSAN