MALAYSIA berupaya menjadi peneraju dalam ekonomi hidrogen global selepas kejayaan membangunkan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) pertama dalam sektor mobiliti hidrogen di Semenanjung.
Ia sejajar dengan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) selari dengan hasrat Kerajaan Madani untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050 demi masa depan yang mampan dan sejahtera.
Dengan pasaran hidrogen global dijangka berkembang pesat dalam dekad akan datang, projek MHRS bakal meletakkan Malaysia di barisan hadapan ekonomi hidrogen.
Pasaran hidrogen dijangka melebihi AS$7.3 bilion menjelang 2034, pasaran stesen pengisian hidrogen melalui MHRS membuka ruang bagi pertumbuhan, pelaburan dan inovasi yang lebih besar dalam sektor tenaga bersih Malaysia.
Projek MHRS mendapat sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) dan NanoMalaysia Berhad (NMB).
Ia disokong dengan kerjasama PETRONAS Technology Ventures Sdn Bhd (PTVSB), Sime UMW, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

Ketika pelancaran stesen MHRS di tapak letak kenderaan 2M8, Presint 2, Putrajaya pada 9 Mei lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, projek itu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem tenaga bersih negara.
Katanya, inisiatif ini bukan sahaja mempercepatkan penggunaan teknologi mobiliti hidrogen, malah memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi hidrogen global.
“Saya yakin kerjasama strategik sektor awam dan swasta ini akan membuka ruang inovasi baharu, menarik pelaburan berimpak tinggi serta menyokong matlamat Malaysia mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050.
“Projek MHRS mencerminkan nilai kemakmuran Madani (Kesejahteraan) dengan meningkatkan kualiti hidup melalui penggunaan tenaga bersih yang menyokong pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan alam sekitar dan kesejahteraan sosial,” katanya.
Stesen MHRS ini dibangunkan bagi merangsang permintaan pasaran secara proaktif melalui kerjasama dengan pemilik serta pembekal kenderaan berkuasa hidrogen atau kenderaan elektrik sel fuel (FCEV).
Inisiatif ini menjadi penyelesaian inovatif dalam menangani cabaran pelepasan karbon, kebergantungan kepada bahan api fosil serta kekurangan infrastruktur bahan api alternatif.
Bagi merangsang ekosistem mobiliti hidrogen, kerjasama perlu dijalin dengan pembekal kenderaan FCEV untuk pengesahan teknologi, pelaksanaan projek rintis dan demonstrasi kenderaan berkuasa hidrogen.
Di samping itu, infrastruktur asas bagi pengisian hidrogen dalam FCEV perlu disediakan bagi mempercepatkan penggunaan hidrogen sebagai bahan tenaga dalam sektor pengangkutan dan mobiliti.Kejayaan pelaksanaan projek MHRS ini adalah hasil daripada kerjasama padu dengan peneraju utama industri hidrogen di Malaysia.
NMB sebagai pentadbir aset, bertindak pengendali stesen MHRS dan tapak ujian untuk teknologi baharu bagi meneroka peluang komersial jangka panjang.
PTVSB membekalkan hidrogen dan menyelia kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan stesen (EPCC). Sime UMW dan UMWT menyumbangkan tiga kenderaan berkuasa hidrogen Toyota Mirai serta menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan.
MGTC pula melaksanakan kajian kebolehlaksanaan penggunaan kenderaan FCEV atas jalan raya tempatan dengan sokongan data daripada UMWT dan syarikat pembekal MHRS, iaitu Hydrexia Sdn. Bhd.
Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan menawarkan persekitaran ideal untuk demonstrasi MHRS kerana infrastruktur yang baik bagi menyokong logistik dan kebolehcapaian cekap untuk stesen ini.
Komitmen Putrajaya menjadi bandar pintar rendah karbon menjadikannya lokasi sesuai untuk pengangkutan berkuasa hidrogen dalam peralihan Malaysia kepada penggunaan tenaga mampan dalam kedua-dua kenderaan komersial dan persendirian.
MHRS menawarkan peluang penggunaan perintis pengangkutan awam berkuasa hidrogen seperti bas dan teksi bagi kebolehlaksanaan teknologi sebelum diperluas ke seluruh negara.
Kejayaan pelancaran projek MHRS akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan penglibatan industri, menarik minat pelabur, pihak berkepentingan dan pemain industri untuk turut serta secara aktif dalam pembangunan ekosistem hidrogen Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad berkata, MHRS menjadikan mobiliti hidrogen lebih praktikal dan mudah dicapai sekali gus menyelesaikan cabaran infrastruktur awal dengan menyediakan pengisian semula yang fleksibel untuk kenderaan berkuasa hidrogen.
Ia seterusnya dapat mempercepatkan penggunaan hidrogen sebagai bahan tenaga dalam sektor pengangkutan dan mobiliti.
“NMB telah berada di barisan hadapan dalam inisiatif hidrogen nasional. Dengan pendekatan Model Bina Teroka NMB yang unik, kami bukan sahaja menerajui pembangunan teknologi nano dan EV, malah turut aktif membina ekosistem hidrogen menyeluruh dan berdaya saing.
“Dalam projek MHRS, NMB memainkan peranan penting untuk bertindak sebagai Penyelaras Projek dan Pengurus Aset.
“Ini dengan menyediakan medan ujian bagi teknologi tempatan bersama pemain industri dan akademik, serta merintis laluan ke arah pengkomersialan teknologi,” katanya.
Menjelang suku ketiga tahun ini, NMB akan memperkenalkan dua buah bas FCEV hasil pengubahsuaian semula bas berenjin pembakaran dalaman “Internal Combustion Engine” (ICE) kepada enjin sel fuel yang dikuasakan oleh hidrogen, sebagai inisiatif kepada penggunaan MHRS.
Projek penukaran bas ICE-FCEV ini disokong oleh Dana Penyelidikan Strategik MOSTI dan merupakan pendekatan untuk menyelaras permintaan melalui inovasi teknologi. – UTUSAN