PORT DICKSON: Seramai 1,319 Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 202/2024 menjadi kumpulan pertama menikmati manfaat kenaikan gaji sebanyak lapan peratus melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan sejak Disember tahun lalu.
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, selepas sahaja tamat latihan hari ini, kumpulan anggota tersebut akan menikmati gaji permulaan antara RM1,710 hingga RM1,930 mengikut taraf akademik masing-masing.
Menurutnya, perajurit muda yang mempunyai kelulusan seperti diploma dan ijazah juga akan menjalani proses pembangunan kerjaya yang sudah pun dirancang mengikut kelayakan supaya dapat memenuhi jawatan atau pengkhususan yang diperlukan dalam perkhidmatan.
“Dalam siri kali ini, seramai dua perajurit muda berkelulusan ijazah, manakala 53 orang berkelulusan diploma dan lain-lain manakala majoriti iaitu seramai 1,134 orang pula berkelulusan SPM.
“Siri kali ini merupakan kumpulan yang pertama menikmati saraan baharu atau gaji baharu melalui SSPA yang baharu diumumkan. Mana-mana yang ada kelayakan diploma akan dapat gaji lebih daripada SPM, mengikut diploma masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 202/2024 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.
Muhammad Hafizuddeain berkata, dengan skim gaji baharu itu, beliau berharap lebih ramai lagi remaja bukan Melayu turut dapat menyertai perkhidmatan tentera seterusnya berkhidmat buat negara.
Katanya, usaha akan diteruskan bagi menarik penyertaan belia bukan Melayu termasuk dengan mengadakan pameran serta ceramah kerjaya di sekolah, selain memohon supaya Jawatankuasa Askar Wataniah yang dilantik di setiap negeri supaya membantu hasrat tersebut.
“Kita tahu realiti utama adalah faktor ekonomi. Diharapkan, dengan wujudnya saraan baharu SSPA ni akan menarik lebih ramai orang bukan Melayu menyertai perkhidmatan.
“Kita tak ada banyak isu di Sabah kerana ada bumiputera Sabah tapi cuma kita mahu lebih ramai di negeri-negeri Semanjung Malaysia seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, dan Selangor supaya kita dapat melihat peningkatan penyertaan bukan Melayu,” katanya.
Beliau juga berharap agar pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan memberi kesan kepada usaha menarik lebih ramai bukan Melayu untuk menyertai perkhidmatan tentera.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Hafizuddeain berkata, siasatan kes seorang anggota tentera berpangkat sarjan yang disyaki mencabul seorang pelajar tingkatan satu di Melaka baru-baru ini akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
Ujar beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap apa juga tindakan yang boleh mencemarkan nama baik perkhidmatan dan mengambil tindakan ke atas anggota berkenaan bergantung kepada hasil siasatan atau keputusan pendakwaan.-UTUSAN