PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan terhadap seorang bekas pengurusan tertinggi Sapura Energy Berhad (SEB) kerana disyaki terlibat amalan pengubahan wang haram membabitkan pemilikan saham bernilai lebih RM500 juta.
Individu berkenaan telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM untuk rakaman percakapan pada Isnin dan Selasa lalu bagi membantu siasatan. Namun tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat semalam.
Menurut sumber, sebanyak 83 akaun bank milik lima individu dan 15 syarikat melibatkan nilai kira-kira RM158.26 juta telah dibekukan susulan siasatan itu.
Siasatan juga menjurus kepada unsur rasuah melibatkan beberapa pelaburan selepas penggabungan Sapura Kencana Petroleum Berhad (SKPB) dan Sapuracrest Petroleum Berhad yang kemudian dikenali sebagai SEB.
Katanya, siasatan dan penggeledahan juga telah dijalankan di beberapa lokasi iaitu Syarikat Sapura@Mines, Menara Permata Sapura (Sapura Holdings Sdn. Bhd.) dan di kediaman individu terbabit di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 23 ASPRM 2009, iaitu kesalahan salah guna kuasa dalam isu ganjaran (gaji, bonus dan syer), branding fee (yuran penjenamaan) dan private placement (penempatan persendirian) dari tahun 2012 hingga 2021.
“Siasatan juga sedang mengenal pasti kesalahan pecah amanah, salah guna dana dan pemalsuan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya semalam.
Katanya, tindakan penyiasatan tatakelola juga akan dijalankan.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memulakan langkah dengan menjalankan audit forensik bagi mengenal pasti permasalahan sebenar syarikat SEB sebelum membuat keputusan.
Tegas Perdana Menteri, tindakan akan diambil sekiranya proses ketekunan wajar yang dilakukan mendapati wujud salah laku dalam SEB.
Untuk itu katanya, kerajaan melantik syarikat Ernst&Young untuk menjalankan audit forensik dalam memastikan ketelusan dalam proses tersebut dan setiap sen yang diberikan akan dipantau.
Sekiranya terdapat sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa, siasatan akan diteruskan tanpa kompromi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, proses audit sememangnya telah dijalankan dan ketekunan wajar tambahan itu dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 bilion.
Katanya, suntikan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion kepada SEB bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula syarikat itu.
Jelasnya, suntikan dana tersebut akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu akan menguruskan dengan lebih baik dan membayar semula pinjaman itu apabila mendapat keuntungan.
Menurut Anwar, sebanyak 80 peratus daripada dana tersebut akan digunakan untuk membayar lebih 2,000 vendor yang telah melaksanakan kerja mereka tetapi masih belum menerima bayaran dan terkesan akibat masalah kewangan syarikat tersebut.
Tambah beliau, keputusan ini bukan sesuatu yang mudah kerana kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip menolak sebarang usaha menyelamatkan syarikat yang bermasalah tanpa kawalan ketat.
“Kita mahu memastikan industri minyak dan gas negara terus berkembang tanpa bergantung sepenuhnya kepada syarikat asing,” katanya. – UTUSAN