PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tohmahan yang tular dalam satu video TikTok yang mendakwa seorang pegawai kanan mereka menekan Datin Seri Pamela Ling Yueh untuk menyelesaikan isu perceraian dengan suaminya semasa disiasat.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, siasatan dalaman menunjukkan pegawai tersebut tidak terbabit langsung dalam penyiasatan kes terhadap Pamela Ling dan tidak pernah berjumpa beliau.
“Pegawai tersebut telah membuat laporan polis dan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kandungan video tersebut, yang disifatkan sebagai fitnah dan berniat jahat.
“Beliau juga menafikan segala tuduhan dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut terhadap penyebar kandungan fitnah tersebut,” kata kenyataan itu.
Justeru itu, SPRM menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan berunsur fitnah kerana ia boleh mengelirukan masyarakat dan mengganggu siasatan kes yang kini disiasat sebagai kes orang hilang oleh pihak polis.
Pada 4 April lalu, Pamela Ling, isteri kepada ahli perniagaan dari Sarawak, dilaporkan hilang selepas menaiki perkhidmatan e-hailing dari Cheras ke pejabat SPRM.
Saksi mendakwa kenderaan dinaikinya dihalang tiga kereta dan dia kemudian dibawa pergi oleh individu memakai pakaian polis. – UTUSAN