SPRM kenal pasti peneroka isu ceroboh tanah Raub

SPRM kenal pasti peneroka isu ceroboh tanah Raub

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengenal pasti peneroka-peneroka bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan tanah yang dijadikan sebagai kebun durian di Raub, Pahang.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM berkata, suruhanjaya itu dalam proses mendapatkan dokumen-dokumen tertentu untuk diteliti.

“Dokumen ini diperlukan bagi mengenal pasti dan merekod keterangan saksi-saksi terbabit,” katanya di sini.

Pada 29 April lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya sudah mempunyai senarai individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan tanah terbabit.

Katanya, senarai itu turut meliputi pegawai kerajaan yang telah pencen.

Khamis lalu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, meluahkan rasa terkejut selepas dimaklumkan bahawa kira-kira 10,521 hektar tanah di daerah Raub telah diceroboh secara haram sejak beberapa dekad lalu.

Baginda amat terkejut dengan skala pencerobohan yang begitu besar, bersamaan kira-kira 14,700 padang bola sepak.

Sebelum itu, Op Sekat 3.0 dilaksanakan di hutan simpan kekal serta tanah kerajaan negeri di Batu 3, Sungai Ruan, Raub.

Operasi itu melibatkan pegawai dan anggota dari Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pejabat Tanah Daerah Raub, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN