SPRM gempur kartel projek seleweng dana awam

SPRM gempur kartel projek seleweng dana awam

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Operasi membanteras ketirisan perolehan kerajaan terus dilipat gandakan bagi memastikan penyaluran dana awam sampai kepada kumpulan dan mengekang amalan kartel projek.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, amat menyedihkan apabila terdapat peruntukan kerajaan bertujuan menjamin kelestarian penyampaian perkhidmatan kepada rakyat telah diseleweng demi kepentingan sendiri.

“Sebagai contoh, penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara saban tahun menunjukkan bagaimana kelemahan kawalan dalam kewangan agensi kerajaan telah menjadi pemangkin kepada ketirisan perbelanjaan kerajaan, pelaburan tidak berimpak dan pembayaran tanpa asas kontrak yang kukuh. 

“Selain itu juga, penemuan siasatan SPRM turut membongkar beberapa taktik manipulasi akaun dan kewangan syarikat yang licik yang malangnya terlepas daripada semakan firma pengauditan luar,” katanya dalam Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan semalam.

Azam justeru itu berkata, fokus pihaknya masih tertumpu kepada tiga bidang utama berisiko tinggi iaitu perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar.

“Fokus turut diberikan kepada projek-projek terbengkalai dan projek sakit yang memberi kesan besar kepada kewangan negara,” katanya.

Katanya, Laporan Ketua Audit Negara terus menjadi rujukan penting SPRM dengan penglibatan aktif dalam Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara (JTLKAN) serta mesyuarat bersama agensi penguatkuasa dan agensi pusat berkaitan.

Menurut Azam, banyak kes berlaku secara sistemik dan disahkan melalui semakan dalaman, namun tidak dilaporkan kerana tiada keupayaan untuk bertindak.

“Kita tidak boleh lagi melangkah dan bergerak secara terpisah, seolah-olah setiap agensi berlayar dalam kapal sendiri menuju destinasi yang kabur,” jelasnya.

Beliau justeru itu berkata, usaha mengekang ketirisan mampu dicapai sekiranya semua pihak berganding baharu.

“Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) ialah peta koordinasi itu yang menyatukan haluan dan memperkukuh pelayaran kita dalam menangani jenayah kewangan yang kian mencabar. 

“KKFP adalah simbol kesungguhan kita yang menggabungkan kepakaran pelbagai agensi. Ia juga melambangkan iltizam kolektif kita untuk bertindak secara sistematik, terancang dan bersama-sama dalam melindungi sistem kewangan negara daripada dieksploitasi oleh penipuan dan memastikan akauntabiliti terhadap setiap sen wang yang diuruskan,” katanya.

KKFP diterajui pelbagai agensi iaitu SPRM, Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri,, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) berperanan sebagai platform kerjasama strategik rentas agensi dalam usaha membanteras jenayah penipuan perakaunan menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN