GEORGE TOWN : Rakyat Malaysia khususnya penduduk Pulau Pinang berpeluang untuk menikmati perkhidmatan feri secara percuma sepanjang hari pada Isnin ini sempena sambutan Hari Wesak.
Inisiatif itu diambil oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dengan kerjasama Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB).
Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, langkah menyediakan perkhidmatan feri secara percuma itu bertujuan memudahkan perjalanan rakyat terutamanya pada musim perayaan selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara lebih lestari.
Soon Hin berkata, perkhidmatan tersebut bagaimanapun hanya ditawarkan kepada penumpang warga Malaysia sahaja bagi laluan dua hala iaitu antara Pangkalan Sultan Abdul Halim dan Pangkalan Raja Tun Uda.
“Trip dari Pangkalan Sultan Abdul Halim akan bermula seawal pukul 6.30 pagi hingga 11 malam, manakala dari Pangkalan Raja Tun Uda pula, ia bermula dari 7 pagi hingga 11.30 malam,” katanya yang turut menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal serta merujuk jadual feri terkini untuk memudahkan urusan mereka.
Mengulas lanjut, Soon Hin berkata, berdasarkan statistik pada sambutan Hari Wesak tahun lepas, terdapat seramai 4,391 penumpang khususnya pejalan kaki dan 1,584 kenderaan dua roda telah menggunakan perkhidmatan feri terbabit.
“Jumlah tersebut menyumbang kepada keseluruhan 2.1 juta penumpang (pejalan kaki) dan 747,785 penumpang kenderaan dua roda bagi tahun tersebut secara keseluruhannya,” ujar beliau.-UTUSAN