SPM 2024 : Usaha gigih, restu ibu bapa , tawakal bawa kejayaan

SPM 2024 : Usaha gigih, restu ibu bapa dan tawakal bawa kejayaan

Adlin Maisarah Azhan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat dengan apa yang saya capai hari ini,” demikian luahan Adlin Maisarah Azhan, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat yang memperoleh keputusan semua 9 A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Adlin Maisarah berkata, kejayaannya itu adalah hasil keyakinan terhadap pertolongan Allah, disusuli usaha yang konsisten serta sokongan padu daripada ibu bapa dan guru.

“Saya akan sentiasa utamakan hubungan saya dengan Allah. Sebelum dan selepas belajar, saya akan baca doa supaya Allah permudahkan saya dalam menghafal fakta dan memahami pelajaran.

Saya juga buat solat tahajud, solat hajat dan kalau sempat saya puasa sunat. Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan saya,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, restu ibu bapa juga menjadi kekuatan utamanya dalam menghadapi cabaran dunia akademik terutamanya dalam aliran sains tulen.

“Mak ayah saya selalu ada bersama saya waktu susah dan sentiasa beri semangat. Selepas solat, saya tak pernah lupa doakan mereka. Saya sangat hargai pengorbanan mereka dan mahu lihat mereka bangga,” ujarnya.

Anak kepada Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Prof. Ts. Dr. Azhan Hashim dan pensyarah Kimia Organik, Dr. Aiza Harun itu menyifatkan kejayaan tersebut turut didorong pengorbanan guru-gurunya yang tidak jemu membimbing.

“Saya bermula daripada ‘zero’ masa Tingkatan Empat, memang tidak tahu apa-apa tentang aliran sains. Tapi cikgu-cikgu sanggup luang masa buat kelas tambahan setiap hari dan minggu tanpa penat,” katanya.

Dia menetapkan sasaran untuk menguasai mata pelajaran ‘killer’ seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan sebaik sahaja memilih aliran Sains semasa Tingkatan Empat.

“Waktu itu keputusan saya tak begitu baik, cuma 4A sahaja. Tapi saya terus semat dalam hati untuk bangkit dan capai kejayaan. Saya belajar setiap hari, buat latihan soalan percubaan dan hadir semua kelas tuisyen yang dianjurkan sekolah,” katanya.

Adlin Maisarah mengakui perjalanan itu bukan mudah, namun keazaman tinggi membolehkan dia mengatasi keletihan dan tekanan sepanjang sesi persekolahan.

“Saya buktikan pelajar sekolah harian biasa pun mampu dapat keputusan terbaik. SMK Jengka Pusat mungkin bukan sekolah berasrama penuh, tetapi kami ada semangat yang besar,” jelasnya.

Menurutnya lagi, latar belakang keluarga yang mementingkan ilmu menjadi pemangkin kejayaan apabila semua adik-beradiknya juga merupakan pelajar cemerlang di sekolah yang sama.

“Saya jadikan ibu bapa dan abang-abang saya sebagai contoh. Mereka semua ‘educated’ dan saya mahu teruskan legasi itu,” katanya. Sebagai panduan hidup, Adlin Maisarah berpegang teguh kepada ayat Surah Al-Insyirah:

‘Sesungguhnya setiap kesusahan itu pasti akan diiringi dengan kemudahan’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN