Sokong, bantu sukarelawan didik anak Orang Asli

Sokong, bantu sukarelawan didik anak Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan mengadakan program pem­belajaran di Sikulah Rimba Bateq Kampung Kuala Atok, Kuala Tahan, dekat sini antara pendekatan bagi membolehkan anak Orang Asli mendapat pendidikan formal.

Bekas pendidik, Abd. Manaf Mat berkata, tidak dinafikan segelintir anak Orang Asli tercicir daripada menerima pendidikan lantaran kemiskinan dan kerana kelangsungan de­ngan hidup berpindah-randah yang masih wujud dalam kala­ngan golongan minoriti itu di kawasan pedalaman.

“Saya pernah bertugas di beberapa sekolah di kawasan petempatan Orang Asli di pedalaman Lipis dan Jerantut. Didapati ada segelintir anak Orang Asli yang tercicir dan tidak mahu ke sekolah malah terpaksa ke rumah mereka memujuk untuk datang belajar.

“Galakan supaya anak Orang Asli rajin ke sekolah disusuli dengan pemberian bantuan se­perti alat tulis, pakaian, basikal dan makanan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya di sini semalam.

Menurut Abd Manaf, pihak berwajib perlu membantu sukarelawan berkenaan dari segi kemudahan tertentu bagi tugas mereka mendidik anak Orang Asli yang tercicir di pedalaman.

“Saya tidak menafikan ba­nyak usaha yang telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan terhadap pendidikan anak Orang Asli kawasan pedalaman, tetapi masih ramai yang perlu diberikan perhatian khususnya usaha membina kemudahan premis di sekolah yang agak uzur dan rangsangan anak Orang Asli minat belajar,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Sahabat Jariah Malaysia (SJM) dan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM), Prof. Dr. Maketab Mohamed berkata, difahamkan anak Orang Asli etnik Bateq yang belajar di Sikulah Rimba Bateq Kuala Atok tidak diterima memasuki sekolah rendah berdekatan, lantaran lebih usia.

“Usaha sukarelawan datang mengajar anak yang lebih usia dan bawah usia persekolahan sangat wajar. Ia ke arah transformasi bagi membina kehidupan anak Orang Asli menerusi ilmu dan kemahiran supaya mereka berpeluang bekerja di sektor pelancongan dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, SJM dan YFBM juga ada membuka Kelas Rimba Bateq di Kampung Cangkung, Sungai Keniam, Taman Negara Pahang bermula 2019 dan pem­belajaran sebulan sekali.

“Setelah mendapat bantuan Yayasan Hasanah pada 2022, kelas berkenaan dibuka seminggu sekali melibatkan enam tenaga sukarelawan mengajar anak Orang Asli di kampung itu.

“Cabaran utama yang kita hadapi, iaitu kos pengangkutan bot yang terlalu tinggi untuk sukarelawan berkenaan berulang-alik mengajar selain ketika penghantaran keperluan seperti makanan serta bahan pembelajaran,” katanya.

Maketab berkata, walaupun berdepan cabaran, usaha ber­kenaan membuahkan hasil apabila ramai anak Orang Asli yang sebelum ini tidak bersekolah telah memasuki Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi, SK Kuala Sat dan SK Merting di Jerantut, manakala program yang sama di Lipis, mereka sudah belajar di SK Felda Kechau Satu, SK Pagar Sasak; SK Teluk Gunung (Merapoh). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN