SMK Sungai Koyan rapatkan sekolah dan masyarakat karnival

SMK Sungai Koyan rapatkan sekolah dan masyarakat melalui karnival

JUALAN air balang oleh pelajar sempena Hari Koperasi dan Karnival Hal Ehwal Murid (HEM) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) 2025 Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Koyan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKOLAH Menengah Kebangsaan Sungai Koyan (SMK Sungai Koyan) telah menganjurkan Hari Koperasi serta Karnival Hal Ehwal Murid (HEM) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) 2025 dari 26 hingga 28 Mei.

Selain sempena hari guru, program yang diadakan setiap tahun ini bertujuan memberi peluang kepada para pelajar, guru dan ibu-bapa serta masyarakat berinteraksi dalam satu program yang menggabungkan bermacam-macam acara.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tiga hari karnival itu berlangsung yang sesuai dengan pelbagai peringkat umur pelajar.

Antaranya seperti pertandingan nasyid, azan dan hafazan. Selain itu ia turut dimeriahkan dengan pertandingan sukan rakyat, pemeriksaan kesihatan untuk pelajar, ibu bapa dan guru serta pelbagai gerai pameran.

Bagi menggalakkan para pelajar mendalami ilmu perniagaan, turut diadakan gerai-gerai jualan yang menyediakan kupon khusus untuk tujuan pembelian.

Menurut Pengetua SMK Sungai Koyan, Azahar Mohd Azahari, program seperti itu adalah satu cara untuk mendedahkan pelajar kepada bidang keusahawanan dan pada masa sama merapat hubungan antara sekolah dan guru dengan masyarakat terutama ibu bapa.

“Diharapkan program seperti ini dapat melahirkan usahawan muda melalui pengkoperasian selain menggunakan koperasi untuk membangunkan keupayaan penduduk luar bandar selain memacu ekonomi setempat,” katanya.

Katanya, semua aktiviti yang dianjurkan sempena program ini adalah sesuai dengan latar belakang pelajar dan persekitaran sekolah.

Ia seperti pertandingan anyaman mulang iaitu anyaman berasaskan daun kelapa yang terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan.

Begitu juga dengan sukan rakyat seperti guli, pukul sarang tebuan, bola sepak berkain pelikat dan sebagainya.

Selain itu turut diadakan pertandingan karaoke yang terbuka kepada orang awam dengan tujuan mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dan masyarakat.

Turut diadakan adalah pertandingan tata rias yang bertemakan pengantin bagi menguji kreativiti pelajar yang disusuli dengan pertunjukan fesyen.

Menurut Azahar, program tahunan ini merupakan antara acara yang dapat menyatukan antara pihak sekolah dengan masyarakat setempat terutama di sekitar Felda Sungai Koyan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN