SIRIM dan ELMU jalin kerjasama perkukuh inovasi negara

SIRIM dan ELMU jalin kerjasama perkukuh inovasi negara

KASSIM Noor Mohamed (dua kiri) bersama Ahmad Sabirin Arshad dalam majlis menandatangani MoU di Nilai kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: SIRIM Berhad (SIRIM) dan Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) sebagai langkah awal dalam memperkukuhkan keupayaan Malaysia dalam bidang standard dan inovasi.

Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung di Bandar Enstek, di sini kelmarin.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, kerjasama itu dirangka bagi memacu kecemerlangan dalam pendidikan, latihan, penyelidikan dan inovasi selaras dengan agenda pembangunan negara.

“Kami berkongsi matlamat yang sama, iaitu memperkukuh keupayaan negara dalam penguatkuasaan, kepimpinan, pengurusan dan teknologi baharu.

“Di SIRIM, kami percaya kepada jalinan kerjasama yang kukuh dan bermakna. Fokus ELMU dalam pendidikan penguatkuasaan dan kepimpinan melengkapi kekuatan SIRIM dalam bidang standard, kualiti dan inovasi,” katanya.

Tambahnya, hasil kerjasama itu juga akan membangunkan pensijilan kelayakan mikro dan program latihan berfokus industri dalam pelbagai bidang utama.

“Kerjasama ini juga akan menyokong penyelidikan bersama, projek berasaskan inovasi, dan akses bersama kepada infrastruktur teknikal bagi menggalakkan penggunaan teknologi canggih seperti AI, analitik data raya dan penyelesaian pembangunan lestari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif dan Naib Canselor ELMU, Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata MoU tersebut merupakan permulaan kepada kerjasama strategik yang bakal memacu kemajuan negara.

“MoU ini mencerminkan matlamat bersama untuk meningkatkan penanda aras prestasi, memperkasa industri melalui pengetahuan dan pensijilan, serta menyokong pembangunan negara menerusi pendidikan dan inovasi.

“Memorandum ini juga menjadi asas kepada kerjasama strategik dalam memupuk bakat, memajukan standard dan mempercepat kemajuan negara,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Dato’ Hairul Ridza Hayata, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ELMU; Datin Noraini Aripin, Ketua Pegawai Kewangan ELMU; Mohd Faisal Abdul Shukor, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan SIRIM dan Nik Sazali Nik Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi SIRIM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN