KUALA LUMPUR: Lebih 1,200 petugas media tempatan dan antarabangsa telah berdaftar bagi membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung di ibu negara pada 26 hingga 27 Mei ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah tersebut, lebih 500 merupakan wakil media antarabangsa, sekali gus menunjukkan minat dan perhatian besar masyarakat global terhadap sidang kemuncak berkenaan.
“Penyertaan yang memberangsangkan ini membuktikan kredibiliti serta keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah dalam menarik liputan meluas daripada media serantau dan global.
“Ia mencerminkan perhatian dan kepentingan besar terhadap peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya pada sidang akhbar mingguan selepas meninjau Pusat Media Antarabangsa Sidang Kemuncak ASEAN-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyediakan perkhidmatan capaian internet 5G bagi memastikan liputan media dapat dilakukan secara lancar sepanjang sidang berlangsung.
“Tiga unit pemancar berskala besar dan 26 unit berskala kecil telah dipasang di seluruh kawasan persidangan sebagai langkah persediaan teknikal,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menyeru semua pihak agar sentiasa berhati-hati terhadap sebarang maklumat tidak sahih yang disebarkan melalui media sosial.
“Akhir kata, saya menyeru kepada semua pihak agar mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan rasmi daripada agensi-agensi media arus perdana yang lain.
“Semua pihak perlu elak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, khususnya daripada media sosial yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Minggu lalu, Fahmi turut menyarankan orang ramai di Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam sepanjang penganjuran sidang kemuncak itu yang akan berlangsung di KLCC.
Katanya, sempena sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China, sejumlah ketua kerajaan dan ketua negara akan tiba di Malaysia sama ada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang atau Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mulai Khamis ini.
Sidang tersebut menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan pelbagai isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi.
Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN mulai 1 Januari lalu daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015. – UTUSAN