PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berada pada fasa akhir persiapan bagi aspek keselamatan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 7,227 anggota polis diatur gerak bagi memastikan kelancaran acara, selain lebih 2,000 pegawai Jabatan Imigresen (JIM) akan ditempatkan di pintu masuk utama seluruh negara.
“KDN diberikan mandat oleh Sekretariat ASEAN dengan kerjasama Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri untuk menguruskan dua aspek penting iaitu fasilitasi urusan imigresen dan operasi keselamatan sepanjang sidang kemuncak berlangsung.
“Matlamat kita adalah memastikan kelancaran proses keluar masuk, bukan hanya pemeriksaan dokumen seperti pasport dan dokumen perjalanan tetapi juga urusan bagasi. Ini akan menjadi penanda aras prestasi kita,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 Jabatan Imigresen (JIM) di Puspanitapuri hari ini.
Menurut Saifuddin, antara pintu masuk yang dikenal pasti bagi menyambut ketibaan tetamu negara termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kompleks Bunga Raya di Sepang serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang yang dijangka menerima ketibaan beberapa pesawat khas.
Jelas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pelbagai langkah kawalan trafik bagi mengurus pergerakan kenderaan rasmi dan delegasi asing, terutama membabitkan kehadiran pemimpin ASEAN, wakil Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Perdana Menteri China, Li Qiang.
“Latihan simulasi akan dijalankan bermula 20 Mei. Sidang kemuncak pula secara rasmi bermula dengan ketibaan delegasi pada 20 Mei dengan sesi berlangsung dari 26 hingga 28 Mei,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi utama minggu lalu serta menerima taklimat lengkap berhubung persiapan termasuk aspek keselamatan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan diadakan pada 26 dan 27 Mei ini, manakala Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog bermula penghujung Oktober. – UTUSAN