GEORGE TOWN: Pulau Pinang mencatat lebihan kewangan (surplus) sebanyak RM65.3 juta setakat 31 Mac tahun ini sekaligus menandakan pemulihan positif dalam kedudukan fiskal negeri dan usaha pengurusan kewangan yang berhemat oleh pentadbiran negeri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, lebihan itu dicapai hasil jumlah pendapatan negeri yang berjumlah RM268.46 juta, berbanding perbelanjaan sebanyak RM203.19 juta dalam tempoh tersebut.
“Lebihan ini mencerminkan peningkatan dari segi kutipan hasil dan kawalan perbelanjaan yang dicapai sebahagiannya melalui perancangan strategik serta pelaksanaan inisiatif fiskal baharu,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) berkenaan status kewangan semasa kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah menamatkan tahun kewangan 2024 dengan defisit semasa sebanyak RM174.09 juta, lebih rendah berbanding defisit pada tahun 2023 iaitu sebanyak RM358.80 juta.
“Defisit ini berlaku susulan kutipan hasil berjumlah RM810.46 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM719.55 juta dan pemindahan sebanyak RM265.00 juta ke dalam Dana Pembangunan.
“Kerajaan negeri juga menerima pendahuluan sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu pengurusan aliran tunai yang turut menyumbang kepada peningkatan dalam Akaun Amanah Disatukan,” tambahnya.
Menjawab soalan tambahan Choon Aik berkenaan baki tanah kerajaan negeri untuk penjanaan hasil, Kon Yeow berkata, terdapat dua kaedah untuk tujuan itu iaitu pelupusan tanah kerajaan melalui pemindahan hak milik.
Beliau berkata, dalam hal ini, kerajaan negeri akan menawarkan tanah yang mempunyai potensi pembangunan kepada sektor swasta untuk dibangunkan.
“Selain itu, dari semasa ke semasa, terdapat tanah yang disita kerana cukai tidak dibayar. Tanah ini dilelong, tetapi, ia bukan tanah yang luas hanya beberapa ribu meter persegi sahaja.
“Kemudian, terdapat juga projek penambakan laut, di mana kita menentukan kaedah perkongsian hasil. Ini turut menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri,” kata beliau.
Sementara itu, ketika ditanya lebih lanjut mengenai cukai baharu yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan negeri, Kon Yeow berkata, ia bagaimanapun masih dalam peringkat pertimbangan oleh pihak pentadbiran. – UTUSAN