LENGGONG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kemalangan jalan raya yang mengorbankan sekurang-kurangnya lapan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan pagi tadi.
Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihak polis juga akan mengambil langkah-langkah sewajarnya termasuk soal kebajikan keluarga anggota yang terkorban.
“Siasatan akan dibuat oleh polis mengikut prosedur operasi standard (SOP). Saya zahirkan ucapan takziah keluarga mangsa.
“Saya yakin keupayaan pihak polis untuk membuat siasatan dan ambil langkah-langkah sewajarnya. KDN ambil berat hal ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pondok Polis Kampung Beng di sini hari ini.
Difahamkan, kenderaan membawa 15 anggota FRU termasuk penumpang dan pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugas kawalan Op Chariot di Teluk Intan, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 8.54 pagi.-UTUSAN