PETALING JAYA: Kertas siasatan berhubung insiden pertengkaran pempengaruh terkenal dengan isteri kepada bekas suaminya di sebuah rumah di Taman Melawati telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kertas siasatan itu dirujuk kepada TPR pada 30 April dan 7 Mei lalu selepas terdapat arahan lanjut bagi melengkapkan siasatan.
Kata beliau, siasatan itu selesai namun masih menunggu laporan perubatan kedua-dua pihak.
“Sebanyak lima keterangan telah diambil termasuk semua yang terlibat secara langsung,” katanya dalam kenyataan.
Pada 3 Mei lalu, polis memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan, pertengkaran berlaku setelah pempengaruh wanita terbabit didakwa melanggar syarat ketika mengambil semula barangan peribadi di rumah bekas suaminya yang juga pempengaruh terkenal.
Bekas suaminya sebelum itu dipercayai membenarkan bekas isterinya itu mengambil barangan miliknya di kediaman tersebut dengan syarat hanya berada di tingkat bawah rumah dan tidak boleh naik di tingkat satu dan tingkat dua.
Bagaimanapun wanita berkenaan telah naik ke tingkat satu, menyebabkan berlaku pertengkaran dan pergelutan antara dia dengan isteri baharu pempengaruh itu yang cuba menghalang tindakannya. – UTUSAN