MELAKA: Kerajaan negeri mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan kelewatan rawatan melibatkan seorang bayi perempuan berusia 22 bulan yang didakwa menunggu hampir 11 jam di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka sebelum diserang sawan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, beliau telah menghubungi Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Ruzita Mustaffa selepas dimaklumkan mengenai kes tular berkenaan pagi tadi.
Menurutnya, beliau telah mengarahkan pihak berkenaan menjalankan siasatan segera bagi mengetahui punca sebenar dan berharap orang ramai termasuk media tidak membuat sebarang spekulasi sehingga laporan lengkap diperoleh.
“Kerajaan negeri memandang serius dakwaan tersebut kerana melibatkan kesihatan dan keselamatan pesakit, lebih-lebih lagi melibatkan bayi dan kita tidak mahu perkara seperti ini berulang dan sekiranya siasatan mendapati wujud kecuaian, tindakan sewajarnya akan diambil.
“Sebagai kerajaan negeri, kami sentiasa mendukung tahap perkhidmatan kesihatan awam yang cekap dan berperikemanusiaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular sebuah rakaman berdurasi 13 minit di media sosial memaparkan bayi berkenaan yang sedang menangis kesakitan dipercayai akibat demam panas, sekali gus mencetuskan rasa simpati dan kemarahan orang ramai.
Video tersebut turut disertakan dengan luahan ibu mangsa yang mendakwa anak sulungnya, tidak menerima rawatan sepatutnya sejak mereka tiba di hospital kira-kira pukul 2.30 petang sehingga terpaksa menunggu selama 11 jam, Sabtu lalu.
Insiden itu turut menimbulkan kemarahan netizen yang menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak terlibat dan menuntut supaya isu kelewatan rawatan di hospital kerajaan tidak lagi berulang.