Server e-penempatan perlu naik taraf sebelum dibuka

Server e-penempatan perlu naik taraf sebelum dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memastikan keupayaan sistem e-penempatan mampu menampung jumlah pengguna yang tinggi apabila ia dibuka semula hujung Mei ini, bagi mengelakkan gangguan akses seperti yang berlaku sebelum ini.

Gesaan itu disuarakan Gerakan Hartal Doktor Kontrak susulan banyak aduan diterima daripada pegawai perubatan yang gagal meng­akses sistem berkenaan apabila ia dibuka pada 27 Februari lalu.

Menurut jurucakapnya, KKM perlu menilai semula aspek teknikal termasuk kapasiti pelayan (server), sebelum sistem itu dibuka semula bagi memastikan ia dapat beroperasi lancar, walaupun menerima jumlah akses se­rentak yang tinggi.

“Mungkin perlu ada sistem yang lebih holistik, dengan server yang laju dan mampu menampung jumlah doktor yang ramai pada satu masa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini me­laporkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan semula sistem e-penempatan melibatkan 2,245 pegawai perubatan Gred UD10 yang tertangguh sejak Februari lalu di­jangka dibuka semula selewat-lewat­nya akhir Mei ini selepas bebe­rapa kali tertangguh.

Gangguan teknikal itu menyebabkan ke­silapan dalam pemilihan pe­nempatan, sekali gus menjejaskan agihan yang boleh ditetapkan dalam sistem e-pe­nempatan.

Tambah jurucakap itu, kegagalan sistem yang berlaku sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan doktor muda yang masih menunggu tarikh penempatan mereka.

“Kami menerima ba­nyak aduan daripada doktor yang ternanti-nanti tarikh e-penem­patan sebelum ini. Ada yang langsung tidak dapat akses, dan ada pula yang mengalami gangguan teknikal ketika cuba log masuk.

“Masalah ini bukan kali pertama berlaku, sudah ba­nyak kali, sepatutnya tidak berulang. KKM perlu bertindak segera untuk menaik taraf sistem agar ia stabil, lebih mesra dan memudahkan pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN