MELAKA: Gadis yang cedera parah kedua-dua kakinya kerana terlibat nahas jalan raya pada 19 Mei lalu, dilaporkan meninggal dunia selepas sembilan hari bertarung nyawa di Hospital Melaka di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.22 pagi itu, Farra Adrienna Rahim, 24, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC bersama rakannya terbabas selepas bergesel dengan sebuah lori ketika cuba memotong dari arah kiri di Jalan Rim-Bukit Katong, Jasin.
Menurut bapa mangsa, Rahim Rahman, 52, kali terakhir dia bertentang mata dengan anaknya itu Khamis lalu, sebelum mangsa menjalani pembedahan bagi memotong kedua-dua kakinya.
“Farra Adrienna menyewa di Duyong dan biasanya memang hujung minggu dia akan balik ke rumah keluarga kami di Asahan.
“Selalu dia akan kejut saya untuk pulang bekerja tetapi pada pagi kejadian dia terus berangkat,” katanya sebak ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.
Rahim yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Asahan berkata, mangsa bekerja di sebuah restoran kerana amat meminati bidang kulinari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dan organ tidak berfungsi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN