KUALA LUMPUR: Permohonan semakan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tuduhan memalsukan dokumen ditetapkan untuk pendengaran pada 9 Julai ini.
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, pada tarikh sama, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan akan turut mendengar bantahan awal yang dikemukakan oleh pendakwaan.
Beliau memaklumkan demikian ketika dihubungi media selepas pengurusan kes berkenaan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd. Khairi Haron secara dalam talian.
Permohonan semakan itu sepatutnya didengar panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali yang bersidang dengan Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli namun ditangguhkan selepas pendakwaan membangkitkan isu bantahan awal dan pihak-pihak terlibat juga masih belum mendapat penghakiman penuh keputusan Mahkamah Rayuan.
Pada 4 Mac lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan akhirnya menyebabkan Ahli Parlimen Melalap itu perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun yang dikenakan terhadapnya.
Pada 26 Mei 2022, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhi hukuman penjara tersebut dan denda RM50,000 selepas Peter didapati bersalah memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).Peter telah membayar denda tersebut.
Pada 18 April 2023, Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan sabitan salah tersebut dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.
Pada 14 Mac lalu, Peter memfailkan permohonan semakan itu atas alasan Mahkamah Rayuan gagal mengambil kira bukti baharu yang dimasukkan sewaktu perbicaraan kes masih berjalan.
Bukti baharu itu ialah laporan polis yang dibuat oleh saksi pendakwaan ketiga yang juga rakan Peter, Mohd. Shukur Mohd Din.
Menurut afidavit tersebut, bukti baharu mampu menimbulkan keraguan munasabah sekali gus membolehkannya dibebaskan daripada sabitan salah dan hukuman penjara.
Sehubungan itu, Peter memohon agar semakannya dibenarkan dan sabitan salah serta hukumannya diketepikan. – UTUSAN