PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menetapkan bahawa penajaan pengajian ijazah pertama dalam bidang pengajian Islam ke Timur Tengah tidak lagi diteruskan bermula tahun ini, sebaliknya hanya ditawarkan di Universiti Islam Selangor (UIS) atau universiti tempatan terpilih.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, keputusan itu dibuat bagi mengurangkan risiko pelajar terdedah kepada pengaruh yang boleh menjejaskan pemikiran serta jati diri mereka semasa berada di luar negara.
“Penajaan oleh Lembaga Zakat Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor hanya akan diteruskan di peringkat sarjana dan doktor falsafah sahaja di negara-negara seperti Mesir, Jordan dan Maghribi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelajar persendirian yang tetap ingin menyambung pengajian ijazah pertama di luar negara masih dibenarkan berbuat demikian, namun perlu melalui proses saringan dan pemantauan rapi oleh JAIS.
“Ini penting bagi memastikan mereka benar-benar bersedia dari segi fizikal, mental, menguasai bahasa Arab serta mempunyai daya tahan menghadapi suasana pembelajaran dan kehidupan di Timur Tengah,” jelasnya.
Tambahnya, keputusan itu juga selaras usaha memperkukuh ekosistem pendidikan agama JAIS yang telah wujud sejak peringkat rendah dan menengah, dengan UIS dipilih sebagai institusi utama di peringkat pengajian tinggi.
Katanya, UIS terbukti melahirkan pelajar berkualiti dari segi ilmu dan akhlak serta memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.
Dalam pada itu, MAIS dan kerajaan negeri turut mengalu-alukan permohonan pelajar lepasan ijazah pertama yang ingin menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi di Timur Tengah dengan tajaan penuh. – UTUSAN