PETALING JAYA: Kerajaan digesa menyekat segera akses orang awam terhadap aplikasi e-hailing InDrive dan Maxim yang didakwa masih beroperasi tanpa kebenaran serta mengabaikan aspek keselamatan pengguna dan pemandu di negara ini.
Gesaan itu disuarakan oleh Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) yang mengharap kerajaan mengeluarkan penjelasan rasmi mengenai status pengoperasian kedua-dua platform berkenaan.
Ia susulan penerimaan surat penutupan operasi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum ini.
Penghantar Malaysia menerusi kenyataan berkata, InDrive dan Maxim dikesan terus menawarkan perkhidmatan walaupun tidak mematuhi peraturan sedia ada, termasuk kewajipan memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah.
“Tindakan ini bukan sahaja tidak adil kepada pemandu sah yang mematuhi peraturan, malah turut membahayakan keselamatan penumpang.
“Kami dapati ada pemandu aplikasi ini dibenarkan beroperasi tanpa lesen PSV, tiada perlindungan insurans e-hailing dan gagal menjalani pemeriksaan kenderaan seperti diwajibkan,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Kementerian Pengangkutan tidak pernah membenarkan mana-mana penyedia perkhidmatan e-hailing menggunakan sistem bidaan harga kepada penumpang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, APAD telah diarahkan menyemak sistem yang mula digunakan pemandu e-hailing pada waktu ini.
Penghantar Malaysia turut menyelar kenyataan pihak InDrive yang mendakwa operasi mereka berjalan seperti biasa walaupun menerima surat amaran dan arahan penutupan daripada APAD.
Bagaimanapun, Pengurus Pembangunan Perniagaan Asia Tenggara dan Luar Negara InDrive, Afanasiy Petrov dilaporkan berkata, lesen operasi mereka telah disambung dua tahun lagi dan operasi diteruskan seperti biasa.
Mengulas lanjut, Penghantar Malaysia berkata, kelemahan penguatkuasaan hanya akan membuka ruang pada aplikasi tidak sah untuk terus beroperasi di luar sistem yang sah.
“Kita tidak mahu kes seperti sebelum ini berulang, di mana aplikasi yang diharamkan kembali semula dengan cara lain.
“Kerajaan perlu tunjukkan ketegasan terhadap isu ini demi keselamatan pengguna dan pemandu serta memastikan keadilan dalam industri gig sektor e-hailing,” katanya. – UTUSAN