KUALA LUMPUR : Bekas isteri Edika Yusof, Nor Hidayah Yusri, mendakwa dia telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak awal perkahwinannya dengan pelakon tersebut bermula 2004.
Menurut Hidayah, perkara itu tidak pernah diceritakannya sebelum ini kerana menganggap dirinya mampu bertahan.
Bagaimanapun, dia akhirnya terpaksa memfailkan perceraian kerana rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi terutama apabila telah melanggar hukum agama.
“Ya, (keganasan rumah tangga) itu wujud. Dalam mahkamah dia tetap mahu menafikan perkara itu.
“Saya tak nak (keluarkan bukti). Keganasan itu berlaku dari sebelum saya sakit, lebih 20 tahun,” katanya.
Selain itu, Hidayah mengakui bahawa anak-anak mereka terutama anak perempuan mengetahui apa yang terjadi dalam rumah tangganya.
Menurut Hidayah, anak perempuannya juga akan menghubungi abang sulungnya jika berlaku insiden yang tidak dapat dikawal malah mendedahkan pihak polis juga sudah beberapa kali datang ke rumah mereka untuk mengawal keadaan.
“Edika boleh menafikan apa yang dia nak, dia boleh cakap apa yang dia mahu tapi apa yang saya kemukakan dalam mahkamah dalam bukti yang kukuh, saya ada gambar, video dan audio.
“Anak-anak juga menjadi saksi. Walaupun anak perempuan tak duduk dengan saya tapi tidak bermaksud dia tidak tahu apa yang terjadi. Anak perempuan itu sendiri yang berpihak pada saya.
“Misalnya kalau ada kejadian-kejadian tertentu yang tak dapat dikawal, anak perempuan saya orang pertama yang akan cari abang sulung dia dan kalau abang dia tak dapat datang, dia diam-diam akan hubungi pihak polis.
“Sudah banyak kali dah pihak polis datang rumah. Malah dia juga mempunyai bukti seperti video insiden yang berlaku. Kalau pergi ke Balai Polis Kepong, tanya la mereka dah berapa banyak kali polis datang ke rumah,” katanya.
Hidayah berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur usai prosiding perceraian mereka.
Terdahulu, Edika telah melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya di hadapan hadapan Hakim Syarie, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh tepat pukul 10.42 pagi.
Pada 23 April lalu, Hidayah menyenaraikan 10 alasan yang menyebabkan dia membuat permohonan cerai terhadap Edika di hadapan hakim.
Kesemua sebab tersebut disifatkan perkara kritikal sehingga membuatkan rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi.
Untuk info, Hidayah memfailkan cerai terhdap Edika pada pertengahan Februari lalu.
Edika dan Hidayah mendirikan rumah tangga pada 16 Januari 2004 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq. -UTUSAN