PUTRAJAYA: Pihak berkuasa diminta mengambil tindakan segera untuk menimbus kolam terbiar yang menjadi punca kejadian seorang kanak-kanak lemas di Presint 17, di sini semalam.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tindakan serta-merta itu perlu dilakukan bagi mengelak berlaku kejadian berulang yang disifatkan amat berisiko dan membahayakan penduduk sekitar terutama golongan kanak-kanak.
Menurut beliau, mana-mana kawasan di Pusat Pentadbiran Persekutuan yang dikesan wujud kolam terbiar seumpamanya perlu dilakukan tindakan sama bagi memastikan tahap keselamatan penduduk terjamin.
“Saya mohon lah kepada pihak berkaitan supaya mengambil tindakan segera menimbus kawasan ini kalau sudah tak digunakan, itu lebih selamat.
“Dan kepada semua pemilik-pemilik tanah yang lain juga khususnya syarikat syarikat yang berkaitan sekiranya ada kolam yang hampir sama dalam kawasan Putrajaya ini, saya mohon supaya diambil tindakan segera bagi menjamin keselamatan anak-anak kita,” katanya ketika ditemui pemberita ketika tinjauan kolam terbiar itu di sini hari ini.
Dalam kejadian petang semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas dalam kolam takungan terbiar di Presint 17, di sini.
Mayat mangsa ditemukan dalam kolam berdekatan jejambat Presint 17 menghala Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Kasturi, di sini dan ditemukan oleh orang awam yang kebetulan melalui lokasi kejadian sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Radzi berkata, ibu bapa dinasihatkan untuk sentiasa mengawasi anak-anak dan selalu mengambil tahu keberadaan mereka supaya tidak terdedah kepada bahaya sekeliling.
Apa yang penting, katanya, kejadian lemas seumpama ini boleh memberikan kesedaran tentang kepentingan untuk mengetahui kemahiran berenang terutama ketika situasi kecemasan.
“Ini memberi kesedaran pada anak-anak kita tentang keperluan mempunyai kebolehan untuk berenang sekurang-kurangnya menyelamatkan diri dalam air.
“Itu adalah perkara yang paling penting dan saya telah mulakan di Putrajaya di pusat khidmat kami telah mengadakan program latihan berenang untuk anak-anak.
“Ibu bapa juga boleh mengambil peluang kerana banyak fasiliti di Putrajaya yang boleh digunakan untuk hantar anak-anak untuk aktiviti berenang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim berkata, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) perlu membuat pemantauan kawasan-kawasan yang mempunyai kolam terbiar supaya tidak menjadi lokasi ‘permainan’ anak-anak.
“Kawasan penduduk di sini ibu bapa kebanyakan bekerja, jadi kadang-kadang tak sempat nak pantau anak. Lagipun kewujudan kolam ini dah lama terbiar.
“Di depan PPAM Kasturi ini ada dipasang pagar, tapi pagar itu separuh sahaja. Jadi kita harap pagar ini dapat disambung supaya dapat menutup jalan-jalan ‘tikus’ kerana di sebelah sana bersempadan dengan Selangor, jadi kita nak elak sebarang kejadian seperti kecurian atau pencerobohan,” katanya.-UTUSAN