Saya tak letak jawatan, patuh arahan parti - Fahmi Zainol

Saya tak letak jawatan, patuh arahan parti – Fahmi Zainol

FAHMI ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : “Saya tak letak jawatan, saya ikut arahan parti.” 

Demikian ditegaskan Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Fahmi Zainol yang tidak akan meletak jawatan Exco negeri walaupun dilihat satu kem dengan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli pada pemilihan parti baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri itu berkata, beliau akan terus menjalankan tanggungjawab berkenaan sekiranya itu yang diarahkan oleh parti.

“Tidak ada, tidak ambil langkah itu (letak jawatan), saya ada pendirian. Bila parti lantik, kita berkhidmat sehingga habis penggal. Saya ini ‘party man’,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun ini. Tindakan sama dilakukan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkuat kuasa 4 Julai depan.

Pada pemilihan PKR baru-baru ini, kem Rafizi termasuk Fahmi gagal mendapat tempat dalam persaingan merebut jawatan penting parti. 

Fahmi yang bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Jelutong dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), gagal dalam kedua-dua pertandingan.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, tidak timbul sebarang desakan untuk beliau meletakkan jawatan dan semua berada dalam keadaan terkawal.

“Saya akan ikut apa sahaja arahan parti. Kalau parti kata A, saya ikut A. Kalau parti kata B, saya ikut B. Kita mahu politik yang stabil di Pulau Pinang dan sebab itu saya patuh kepada parti,” ujarnya.

Fahmi turut menyatakan bahawa beliau akan melaksanakan amanah yang diberikan selagi mendapat kepercayaan parti, serta menekankan pentingnya kestabilan dalam pentadbiran negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN