‘Saya selesa hidup privasi’ - Utusan Malaysia

‘Saya selesa hidup privasi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun sudah lebih dua dekad di dalam industri seni, penyanyi terkenal, Misha Omar, mengakui lebih selesa menjalani kehidupan secara tertutup tanpa perlu mendedahkan sisi peribadinya kepada khalayak, termasuk di media sosial.

Menurut Misha atau nama sebenarnya Samihah@Aisah Omar, dia percaya kemanisan hidup dalam dunia seni dapat dirasai seseorang itu apabila mereka menjaga ruang privasinya.

“Saya memang menjaga privasi keluarga saya. Bukan tak nak berkongsi, tapi saya tahu apa yang saya mahu paparkan.

“Yang lain biarlah hanya rakan-rakan terdekat sahaja yang tahu,” katanya.

Tambah penyanyi lagu Bunga Bunga Cinta itu, hidup dalam privasi membolehkannya lebih bebas menjalani rutin harian, tanpa perlu menjawab persoalan atau tekanan luar.

“Kalau saya senyap, itu maknanya saya sedang menikmati diam itu.

“Kalau saya dilanda masalah pun, saya hadap seadanya tanpa perlu menjawab banyak persoalan. Saya hanya jawab bila perlu dan pada waktu yang tepat,” katanya.

Penyanyi lagu Sampai Bila itu, turut mengakui dia kurang aktif di media sosial kerana lebih selesa menjalani hidup yang tenang tanpa perlu memenuhi jangkaan dunia maya.

“Saya pun pening nak pilih platform mana satu. Kadang-kadang lebih baik menyepi, itu yang buat saya rasa tenang,” katanya.

Dalam pada itu, Misha berkata dia amat menghargai peminat yang kekal setia dan baginya cukuplah jika mereka menikmati hasil kerja seninya tanpa perlu tahu segala hal peribadi.

“Saya sangat berterus-terang orangnya, cuma bukan dalam konteks besar. Kalau boleh, peminat hanya perlu lihat apa yang mereka mahu lihat dan menikmati karya-karya saya sahaja,” katanya.

LAGU DARI INDONESIA
Dalam pada itu, Misha mengumumkan single terbaharunya ciptaan komposer terkenal Indonesia, Tohpati bakal menemui peminat dalam masa terdekat.

Menurut Misha, lagu itu dirakamkan di Jakarta pada Februari lalu dan turut dibantu oleh guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat.

“Alhamdulillah, lagu ini sudah siap sepenuhnya. Ia hasil kerjasama saya dengan Tohpati, seorang komposer yang sangat dihormati di Indonesia,” katanya.

Mengulas pengalaman tersebut, Misha mengakui berasa sedikit tertekan kerana ini merupakan kali pertama bekerjasama dengan produksi luar dari zon selesanya di Malaysia.

“Rakaman dibuat selama tiga hari dua malam di Jakarta. Walaupun dibantu oleh tenaga pengajar vokal di sana, saya tetap gugup sebab ini pengalaman pertama bekerja dengan pihak luar,” katanya.

Misha berkata walaupun serumpun namun dari segi sebutan, intonasi dan lenggok, ia menuntut penguasaan teknik yang berbeza.

“Sebenarnya agak susah juga sebab kena sebut dengan betul, intonasi pun lain. Nak tarik satu nafas panjang tanpa putus pun mencabar. Emosi pula kena sampai betul kepada pendengar,” katanya.

Tambah ibu kepada dua anak itu, walaupun berasa sedikit tertekan pada awalnya, dirinya menganggap pengalaman tersebut sebagai peluang untuk memperbaiki dan memperkembangkan kemahiran vokalnya.

“Saya berusaha keras supaya tak kecewakan komposer dan juga peminat,” katanya.

Mengulas tentang makna lagu berkenaan, Misha menjelaskan karya itu berkisah tentang hubungan cinta yang sudah tidak lagi seindah dahulu dan akhirnya berakhir dengan perpisahan secara tenang.

“Lagu ini menceritakan tentang hubungan yang sudah sampai ke penghujung. Tiada lagi percikan rasa antara dua insan, dan berpisah itu menjadi pilihan terbaik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya