Saya masih fobia, tetapi M. Nasir pujuk saya kembali menyanyi- Joey Daud - Utusan Malaysia

Saya masih fobia, tetapi M. Nasir pujuk saya kembali menyanyi- Joey Daud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Joey Daud kembali menyinari industri muzik tanah air menerusi single terbaharu yang berjudul, Wamwamsam.

Hampir 30 tahun tidak mengeluarkan lagu, Joey berkata, dia fobia untuk kembali ke arena suara kerana dua albumnya di bawah terbitan Luncai Emas milik Datuk M Nasir iaitu Beradu Suratan dan Joey pernah digam.

“Saya sebenarnya agak gementar untuk kembali menyanyi kerana tidak tahu sama ada orang masih menerima saya atau tidak pada usia begini.

“Jika tiada sambutan itu, mungkin inilah lagu terakhir saya. Saya masih fobia kerana setiap kali keluarkan album sekitar tahun 1996 dan 1997 dulu, album itu digam selepas seminggu dilancarkan.

“Lebih menyedihkan, album saya di bawah syarikat rakaman BMG Music mendapat sambutan di Indonesia. Alhamdulillah, 800,000 unit terjual namun segalanya musnah dalam kebakaran akibat rusuhan. Satu apa pun saya tak dapat (keuntungan),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Joey, insiden tersebut benar-benar memberi kesan terhadap semangatnya untuk terus berkarya sehinggakan dia yakin bahawa dirinya tiada tuah untuk menjadi seorang penyanyi.

“Lama sebenarnya saya kumpul kekuatan untuk kembali menyanyi kerana saya rasa ini bukan laluan saya. Saya mula berlakon pun pada tahun 2000.

“Tetapi, sebelum terhasilnya Wamwamsam ini, Datuk M Nasir yang kembali pujuk saya dan suruh kembali menyanyi. Saya juga berbincang dengan isteri saya, Watie yang merupakan tulang belakang saya. Dia juga suruh saya kembali menyanyi,” jelasnya.

Mengulas mengenai lagu terbaharunya, Wamwamsam, single tersebut merupakan kolaborasi bersama barisan komposer muda yang juga anak M Nasir iaitu Ilham dan Hidayat.

Membawa nafas baharu dalam sentuhan pop serta susunan muzik yan berani dan unik, Wamwamsam tercetus hasil daripada wataknya sebagai Daud M daripada filem arahan Allahyarham Mamat Khalid.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN