SHAH ALAM: “Saya pernah merasai kehilangan bercerai mati. Sebagai isteri, saya tidak mahu merasai kehilangan bercerai hidup.”
Demikian luahan penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 52, usai menerima keputusan Mahkamah Rendah Syariah Petaling selepas sebutan pertama kes perceraian bersama suami, Dr. Rushdi Ramli, semalam.
Menurut Nora, jauh daripada sudut hatinya berat untuk berpisah dengan suami, namun reda dengan ketentuan takdir pada masa akan datang.
“Kalau ini yang terbaik untuk saya, anak-anak dan masa depan saya, saya kena buat keputusan walaupun perit. Sebab kita pun tidak tahu apa yang Allah sudah tuliskan untuk kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mahkamah semalam telah menetapkan 4 Jun ini sebagai tarikh sebutan kedua kes perceraian pasangan itu.
Nora dan suami juga perlu menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) di mahkamah sama memandangkan Dr. Rushdi enggan melafazkan talak terhadap penyanyi itu, semalam.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu menyifatkan tindakannya memfailkan perceraian sebelum ini sebagai langkah akhir untuk dirinya menamatkan kepincangan yang berlaku dalam rumah tangga.
“Saya juga perlu bertafakur dan berfikir. Sekurang-kurangnya saya sudah berusaha dan lakukan perkara yang sepatutnya untuk keluar dari persekitaran toksik itu. Namun, saya perlu akur dengan keputusan suami.
“Mengalah bukan bererti kita kalah. Kehidupan terus berjalan. Saya sudah melalui pelbagai fasa dalam kehidupan. Kebergantungan saya kepada Allah. Bukan kepada manusia,” jelasnya. – UTUSAN