‘Saya harap Izzah menang, saya akan tulis warkah untuk dinda’

‘Saya harap Izzah menang, saya akan tulis warkah untuk dinda’ – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan harapan agar Nurul Izzah Anwar dapat memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu, kali ini.

Beliau berkata, pemilihan PKR menjadi perhatian kerana parti itu sedang membentuk kerajaan Persekutuan ketika ini yang mungkin keputusannya akan memberi kesan kepada pentadbiran negara.

“Saya berpegang kepada pandangan ataupun arahan Timbalan Presiden Pas bahawa Pas tidak campur tangan dalam urusan pemilihan parti lain, tapi kerana mereka parti kerajaan setidak-tidaknya siapa yang menang akan beri impak kepada kerajaan selepas ini.

“Saya harap pemilihan itu berlaku dengan lancar. Orang yang menang adalah orang yang lebih baik untuk negara. Kalau Izzah lebih baik, Izzah lah. Kalau Rafizi, Rafizi lah.

“Tapi saya harap Izzah menang, dia tak kutuk saya. Kalau dia menang saya akan tulis warkah kepada dinda,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kedah di Wisma Darul Aman, petang ini.

Pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR hujung bulan ini menyaksikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bakal mencabar penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan tidak bertanding.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun menyerahkan hak memilih kepada ahli PKR untuk membuat keputusan masing-masing.

“Saya tak boleh beri komen banyak tentang hal itu, hal rumah tangga orang. Mereka sedang ketuk belanga, pinggan pecah, belanga terpelanting kita dengar sahaja dulu. Nanti kalau siapa minta tolong kita pi lah tolong,” katanya.

Mengulas tentang nama beliau disebut dalam kempen Rafizi di Kulim, kelmarin, Muhammad Sanusi berkata, ia adalah perkara biasa kerana beliau antara individu yang popular di negara ini.

“Di Malaysia sekarang netizen, fake account atau orang sebenar sekali pun, siapa nak popular hentam Sanusi. Saya jadi punching bag mereka untuk cepat popular. 

“Sebab depa kata siapa boleh hentam Sanusi dia hebatlah tapi mesti bersedia dengan jawapan balas, kalau sanggup tahan telinga silakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN