ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa prosedur operasi standard (SOP) berkaitan unsur nadir bumi (REE) yang belum dikeluarkan mungkin kerana sumber itu banyak terdapat di negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN).
Dakwa beliau, sumber semula jadi yang boleh memberi kekayaan baharu kepada kerajaan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu itu mungkin menimbulkan kebimbangan kepada pihak tertentu.
“Paling banyak sekali di SG4 (Empat Kerajaan Negeri) ini adalah REE. Sebab itu dikatakan orang-orang ini tak berani bagi SOP itu kerana kalau keluar SOP tersebut maka kayalah negeri ini.
“Saya agak lah macam itu (faktornya) SOP tak keluar lagi sebab REE banyak ada di SG4,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kedah di Wisma Darul Aman, petang ini.
Semalam, Muhammad Sanusi memaklumkan Utusan Malaysia bahawa Kedah masih menunggu SOP rasmi daripada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, bagi membolehkan aktiviti perlombongan REE dilaksanakan secara menyeluruh dan sah di sisi undang-undang.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan kononnya pembentukan SG4 tidak membawa apa-apa impak kepada Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, beliau berkata, proses berkaitan sedang berjalan.
“Bernikah pun sembilan bulan baru dapat beranak, inikan pula berkaitan negeri. Ada macam-macam proses.
“Insya-Allah akan ada kerjasama semua peringkat kerajaan ini. Lagi pun pertemuan antara Exco empat negeri ini sentiasa berlangsung baik untuk sektor pelancongan, pertanian dan pelbagai lagi,” ujarnya.
Tambahnya, beliau turut menghadiri mesyuarat bulanan SG4 bersama rakan sejawatan dari tiga negeri lagi, selain mesyuarat peringkat jawatankuasa yang sering diadakan dengan terbaru di Perlis, baru-baru ini. – UTUSAN