RANTAU PANJANG: Kadar penyalahgunaan dadah di Kelantan adalah tertinggi iaitu lebih 1,000 kes bagi setiap 100,000 penduduk, jauh melebihi purata nasional iaitu 566 kes.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyalahgunaan dan pengedaran bahan terlarang itu amat membimbangkan apabila berlaku trend peningkatan sejak 2022 sehingga tahun ini melibatkan tangkapan, reman dan sabitan kes.
Katanya, statistik itu diperoleh daripada empat sumber utama iaitu Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, pusat pemulihan dadah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Trend peningkatan tangkapan dan kes dadah ini sangat jelas, malah data menunjukkan Kelantan mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi iaitu lebih 1,000 kes bagi setiap 100,000 penduduk, jauh melebihi purata nasional iaitu 566.
“Empat negeri sempadan iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, berada dalam senarai negeri tertinggi penyalahgunaan dadah manakala lima daerah utama di negara ini, ialah empat daripadanya di Kelantan iaitu Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh selain Pendang (Kedah),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja sempena Mesyuarat Pasca Kabinet (MPK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Ibrahim Pencen di sini, hari ini.
Saifuddin menggesa Polis Kontinjen Kelantan meningkatkan penguatkuasaan bagi mengawal bekalan dadah, selain meminta AADK memperkemas strategi pencegahan melibatkan komuniti dan institusi pendidikan.
Katanya, Penjara Machang mencatatkan kadar kesesakan tertinggi ketika ini selepas menempatkan lebih dua kali ganda daripada kapasiti asal, dengan 80 peratus banduannya terlibat kes berkaitan dadah.
“Penjara itu mampu menampung 1,560 orang banduan, namun kini dihuni seramai 3,184 orang. 80 peratus daripada banduan yang berada di Machang adalah berkaitan kesalahan dadah.
“Di negara ini terdapat 43 penjara dan di Machang adalah paling sesak. Begitu juga Penjara Pengkalan Chepa turut berdepan situasi serupa apabila menempatkan seramai 2,977 orang banduan berbanding kapasiti asal iaitu 1,500 orang,” ujarnya. – UTUSAN