SEREMBAN: Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan Akta Tahanan Rumah tahun ini sebagai alternatif mengurangkan kesesakan dalam penjara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, langkah itu penting bagi menyumbang kepada modul pemulihan di penjara yang lebih baik selain dilihat lebih berperikemanusian.
“Di penjara dikaitkan isu kesesakan, yang mana ia boleh menyumbang satu keadaan yang tidak kondusif, masalah kesihatan, bergaduh dan sebagainya yang tidak membantu modul pemulihan, itu kebimbangan saya.
“Kalau kita tengok baru-baru ini, ibu yang dihukum penjara hanya kerana mencuri susu sebab anaknya lapar, hakim jatuhkan hukuman, jadi ketika belum dibicarakan direman, kalau kita pakaikan mereka alat khas dan adanya Akta Tahanan Rumah ini lebih manusiawi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Penjara Malaysia Zon Tengah 2024.
Menurut Saifuddin, Akta Tahanan Rumah itu hanya dibenarkan kepada individu yang dikenakan tahanan reman bagi kesalahan jenayah kecil.
“Bagaimanapun, akta ini tidak layak bagi individu yang ditahan reman kerana melakukan kesalahan jenayah berat yang memperuntukkan hukuman penjara lebih 10 tahun.
“Perlu diingat tahanan rumah bukan untuk kes sabitan tetapi individu yang ditahan reman. Di 43 penjara seluruh negara, terdapat sekitar 80,000 orang dan daripada jumlah itu 29,000 individu yang ditahan reman,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pusat Data Sains Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru telah memproses maklumat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang mana kes dadah paling tinggi dilaporkan daripada 395,000 aduan diterima setiap bulan.
“Berdasarkan analisis, kebanyakan kes adalah di bawah Seksyen 15(1) (menggunakan dadah dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (memiliki dadah).
“Malah data menunjukkan, pesalah dadah ini berpotensi melakukan 28 kesalahan jenayah lain termasuk mencuri, merompak dan samun serta kesalahan berulang,” katanya.
Tambah beliau, Penjara Machang, Kelantan misalnya kini mencatat kadar kesesakan tertinggi di negara ini apabila menempatkan lebih dua kali ganda jumlah banduan daripada kapasiti asal dengan 83 peratus daripadanya terlibat dalam kes berkaitan dadah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjara tersebut hanya mampu menampung 1,560 banduan, namun kini dihuni seramai 3,184 orang.
Jelas beliau, begitu juga dengan Penjara Pengkalan Chepa kapasiti 1,500 banduan tetapi kini menempatkan 2,978 orang dengan 63 peratus kes dadah.
“Negeri lain mendominasi kes dadah ialah Kedah, Terengganu dan Perlis yang mana kita lihat negeri ini dekat dengan sempadan. Jenis dadah pula adalah ATS jenis sintetik seperti pil kuda dan ekstasi,” katanya. – UTUSAN