JOHOR BAHRU: Sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta sejarah apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 176 pasukan terbaik dunia untuk bertanding pada kejohanan roket peringkat antarabangsa anjuran Tripoli Rocketry Association di Midland, Texas, Amerika Syarikat pada 9 hingga 14 Jun ini.
Pasukan UTM Rocketry Team itu diterajui oleh T.K. Arykummara, 23, penuntut tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Mekanikal merangkap pengarah pasukan dan ketua projek bersama empat lagi ahli lain, iaitu Brenden Huang Hong Quan, 25, K. Raahull, 23, dan Izzat Idlan Amir Raslan, 24, serta S.N. Shivee Prakkaash, 23.
Menggunakan nama RIMAU-1, roket setinggi 2.8 meter dengan berat 28 kilogram yang dibina sepenuhnya secara buatan tangan (handmade) menggunakan gentian kaca dan karbon dijangka mampu mencapai ketinggian maksimum sehingga 3,000 meter ke udara yang merupakan syarat ketinggian ditetapkan.
Projek itu mula digerakkan pada Jun tahun lalu hasil inisiatif Arykummara yang mahu membina sebuah pasukan yang benar-benar komited dan berkemahiran tinggi.
Idea asal tercetus selepas mengambil inspirasi daripada penyertaan pasukan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam pertandingan yang sama pada 2023.
“Kami bermula dengan roket asas sebelum beralih ke saiz lebih besar. Banyak cabaran kami hadapi, terutamanya dari aspek teknikal dan sumber kewangan, namun semuanya menjadi medan pembelajaran yang amat bermakna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
RIMAU-1 bukan sahaja menonjol dari segi kejuruteraan, malah turut memperlihatkan semangat kerja berpasukan yang jitu.
Menurut Brenden, keseluruhan proses pembangunan roket bermula dari percubaan pertama pada Januari dan hanya mula bergerak secara serius pada Mac lalu dengan tempoh pembinaan selama dua bulan.
Mereka turut menjahit sendiri sistem payung terjun roket sebagai sebahagian daripada komponen keselamatan serta menggunakan ‘ammonium perchlorate’ sebagai sistem pendorong atau tujahan.
Kos keseluruhan menghasilkan roket tersebut sebanyak RM40,000 dan kini pihaknya giat mencari tajaan berjumlah RM100,000 bagi menampung kos penghantaran dan penginapan sepanjang berada di Amerika Syarikat.
Izzat Idlan berharap ada syarikat atau individu yang dapat menghulurkan sumbangan dalam usaha mereka menaikkan nama Malaysia di persada dunia. – UTUSAN