RFP teksi air Pulau Pinang dibatalkan

RFP teksi air Pulau Pinang dibatalkan

ZAIRIL KHIR JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Permohonan cadangan (RFP) bagi perkhidmatan teksi air di Pulau Pinang telah dibatalkan setelah syarikat yang dipilih gagal memenuhi syarat kelulusan yang ditetapkan oleh agensi berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, keputusan membatalkan RFP itu dibuat oleh Lembaga Perolehan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Katanya, pembatalan itu dibuat kerana syarikat tersebut dikatakan tidak mematuhi terma Surat Niat, khususnya dalam mendapatkan semua kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) serta agensi teknikal lain yang berkaitan.

“Surat pembatalan kepada syarikat terbabit telah dikeluarkan pada 17 April 2025 selepas penilaian semula mendapati, syarikat gagal mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Laut Malaysia, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Pejabat Daerah dan Tanah, serta Jabatan Maritim,”katanya.

Zairil (DAP-Tanjong Bungah) berkata demikian dalam jawapan bertulis ketika menjawab soalan Teh Lai Heng (DAP-Komtar) mengenai status terkini perkhidmatan teksi air semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas lanjut, Zairil menjelaskan, inisiatif awal untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi air ini telah dimulakan sejak 2021 apabila MBPP dengan kerjasama kerajaan negeri menjalankan kajian awal dan mengenal pasti empat lokasi jeti yang sesuai untuk operasi tersebut.

“Permohonan kepada MOT kemudian telah dihantar pada 14 September 2021 dan disusuli pembentangan pada 25 April 2022. Kelulusan bersyarat kemudiannya diberikan oleh MOT pada 18 Oktober 2022.

“Selepas ini, RFP telah diiklankan pada 12 Disember 2022 dan ditutup pada 27 Februari 2023. Dua syarikat telah mengemukakan cadangan dan selepas proses penilaian, satu syarikat telah diberi Surat Niat. Namun, proses lanjut gagal disempurnakan,” katanya.

Tambah Zairil, kerajaan negeri kini sedang mengadakan rundingan semula dengan MOT untuk mengkaji terma serta kebolehlaksanaan projek ini secara lebih mendalam.

“Jika RFP dibuka semula pada masa akan datang, kerajaan negeri berharap syarikat yang berminat benar-benar bersedia dan mempunyai kapasiti untuk memenuhi segala keperluan serta kelulusan yang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN