Rennie mahu ‘bersara’ selepas tawan Gunung Rinjani

Rennie mahu ‘bersara’ selepas tawan Gunung Rinjani

AHLI keluarga Allahyarham Rennie Abdul Ghani, selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Allahyarham Rennie Abdul Ghani, 57, yang maut akibat terjatuh di Gunung Rinjani, Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, Sabtu lalu berjanji mahu ‘bersara’ daripada hobi aktiviti lasak itu.

Anak sulungnya, Mohamad Akashah, 29, berkata, Gunung Rinjani merupakan gunung terakhir yang mahu didaki ayahnya dan selepas itu mahu ‘bersara’ daripada aktiviti pendakian.

“Ayah sudah mendaki semua gunung di Malaysia dan tidak mahu mendaki lagi selepas menawan Gunung Rinjani dan ayah sangat teruja untuk pergi ke sana.

“Kami sekeluarga sedih, tetapi reda kerana dia pergi dalam keadaan gembira sebab Gunung Rinjani adalah ‘wishlist’ gunung yang terakhir hendak didakinya,” katanya selepas majlis pengebumian ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, di sini hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mempermudahkan urusan membawa pulang jenazah Allahyarham bapanya yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di sini.

Pelakon, Riezman Khuzaimi yang juga abang ipar mangsa memberitahu, wajah arwah amat tenang, seperti orang yang tidur.

“Tadi bila jenazah sampai di rumah, sebab isteri allahyarham nak tengok sangat wajahnya, kita buka kain kafan dan lihat wajah allahyarham memang nampak sangat macam orang tidur. Sangat tenang. 

“Semua lega sebab kita menunggu jenazah dari hari Sabtu, sejurus dapat berita allahyarham jatuh pada Sabtu tengahari hari, tapi Alhamdulillah jenazah cukup sempurna,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham juga sangat menjaga adik-beradiknya dan suka membantu rakan-rakannya.

“Isteri saya baru bertemu semula dengan arwah enam tahun lalu, selepas terpisah sejak kecil. Saya juga rakan pendaki, cuma kali ini saya tidak dapat menyertai sebab kekangan kerja,” katanya.

Sabtu lalu media melaporkan seorang rakyat Malaysia maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani pada pukul 12 tengah hari waktu tempatan.

Mangsa dikatakan terlepas tali keselamatan menyebabkan dia tergelincir lalu terjatuh di laluan curam tersebut.

Laluan Torean di Gunung Rinjani dibuka secara rasmi pada tahun 2020 yang menawarkan pemandangan indah, namun lebih mencabar dan ekstrem berbanding Sembalun dan Senaru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN