BALIK PULAU : Ibu kepada murid perempuan tahun enam yang dipercayai didera sehingga luka dan lebam di bahagian belakang badan dalam kejadian di Sungai Ara di sini, disambung reman sehingga Khamis ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, wanita berusia 49 tahun itu yang ditahan Rabu lalu sebelum ini telah direman selama empat hari.
Bagaimanapun katanya, tempoh reman berkenaan tamat hari ini dan disambung semula selama empat hari lagi bermula esok.
“Perintah reman terhadap wanita ini telah disambung sehingga 29 Mei (Khamis) bagi membolehkan siasatan kes ini dilengkapkan,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Sazalee berkata, suami wanita terbabit yang juga bapa kepada kanak-kanak perempuan itu turut disambung reman sehingga Khamis ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian atau penderaan terhadap kanak-kanak,” ujar beliau.
Media sebelum ini melaporkan, pasangan suami isteri itu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang murid perempuan yang mengalami luka dan lebam di belakang badan dipercayai akibat didera.
Kes terbabit terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada guru besar sekolah mangsa pada Selasa lalu.-UTUSAN