KUALA KRAI: Seorang remaja lelaki menerima tiga jahitan di kepala dan cedera di beberapa bahagian badan selepas motosikal ditunggangnya terbalik akibat serangan sekumpulan kera di Kampung Batu Lada, di sini, kelmarin.
Mangsa, Muhammad Afif Mohd Affandi, 16, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, dia mahu membuang sampah di tempat pembuangan sampah yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan rumahnya.
Katanya, tempat pembuangan sampah berkenaan sering menjadi tumpuan sekumpulan kera yang keluar mencari makanan daripada sisa buangan.
“Saya dapati lebih 10 ekor kera liar sedang berada di kawasan berhampiran tong sampah dan cuba menerkam ke arah saya yang sedang membawa sisa sampah.
“Saya terkejut menyebabkan saya terjatuh dari motosikal .Kejadian itu disedari oleh jiran yang kebetulan lalu di situ dan membantu menghantar saya pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini,
Muhammad Afif yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra dan menerima tiga jahitan di kepala serta mengalami kecederaan di bahu, lengan dan pinggang. – UTUSAN










