Reformasi tuntut perubahan, bukan kitar semula kuasa

Reformasi tuntut perubahan, bukan kitar semula kuasa

reformasi
DZULKIFLI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad menyeru komitmen terhadap reformasi dalam perkhidmatan awam, dengan menggesa kerajaan agar menilai amalan pelantikan semula pesara ke jawatan tertinggi.

Beliau menegaskan, walaupun pengalaman kerjaya adalah berharga, namun pelantikan semula boleh merencat pembaharuan dan menghalang kebangkitan pemimpin muda yang lebih progresif.

Selari dengan kenyataan terkini oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, Dzulkifli menyatakan sokongan penuh terhadap seruan beliau agar penjawat awam lebih berani dan berprinsip
untuk merealisasikan perubahan institusi.

“Isu yang paling kritikal yang dihadapi oleh perkhidmatan awam kita hari ini adalah ketiadaan perancangan penggantian yang sistematik.

“Melanjutkan tempoh kepimpinan yang sama melebihi usia persaraan wajib boleh membawa kepada budaya pentadbiran yang bersifat statik dan menghalang kemajuan. Ia membantutkan pengenalan idea baharu, menyekat inovasi, dan mengenepikan bakat yang sedang berkembang.

“Amalan ini memupuk ketidakcekapan dan rasuah, kerana kesetiaan mungkin diutamakan berbanding merit dan ketelusan. Ketiadaan perancangan penggantian yang berkesan akan merugikan masa depan institusi kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Dzulkifli menegaskan bahawa kepimpinan sektor awam bukanlah hak seumur hidup.

Beliau juga menekankan bahawa tadbir urus yang berkesan memerlukan kepimpinan yang  bersifat responsif serta mampu menyesuaikan diri dengan keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.

Beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa pelantikan semula penjawat awam melebihi usia persaraan boleh melemahkan pembaharuan kepimpinan dan bertentangan dengan tujuan sebenar reformasi.

“Kita tidak boleh berbicara mengenai perubahan, sementara individu yang sama terus dilantik berulang kali – ini akan melunturkan kepercayaan rakyat,” katanya.

Beliau menekankan kepentingan memperkasa generasi baharu pemimpin yang membawa idea-idea inovatif, pemikiran kritikal, dan pendekatan berasaskan pencapaian.

Beliau turut memberi peringatan bahawa kegagalan untuk bertindak sekarang berisiko membawa negara ke arah kemunduran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN