KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis berpangkat koperal ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM25,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd. Roslan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Menurut sumber, anggota polis berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu di sini, semalam.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Oktober 2020 dan menerima suapan secara tunai dan melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik suspek dan isterinya,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B)Akta SPRM 2009. – UTUSAN