BUTTERWORTH : Seorang pekerja restoran warga Myanmar didenda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merasuah seorang anggota polis bagi mengelak daripada dikenakan tindakan kerana menunggang motosikal tanpa lesen, minggu lepas.
Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh, Han Tun, 36, di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Inggeris.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, secara rasuah telah memberikan suapan wang berjumlah RM95 kepada Konstabel Uzairuddin Azizi Che Omar di Jalan Burma, Georgetown dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang, Khamis lalu.
Ia sebagai balasan supaya anggota polis itu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986 iaitu menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah.
Atas kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh pula tidak diwakili mana-mana peguam.
Terdahulu, ketika prosiding, Nurnajihatul Idayu meminta agar hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang awam agar tidak melakukan kesalahan yang sama.
Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya mengaku telah menyesal akan perbuatannya dan memohon untuk terus dibenarkan tinggal dan bekerja di negara ini kerana perlu menanggung anak dan ibu bapanya di Myanmar.
Zulhazmi kemudian mengarahkan supaya tertuduh didenda sebanyak RM5,000 dan dipenjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan tertuduh bahawa perbuatan rasuah adalah kesalahan yang serius dan dianggap sebagai jenayah yang besar di negara ini.-UTUSAN